Dewan Rakyat luluskan usul penambahan 13 kerusi Dun Sabah

Dewan Rakyat luluskan usul penambahan 13 kerusi Dun Sabah

Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul menambah 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Sabah dengan sokongan 158 ahli Parlimen.

Usul itu dibentangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan diluluskan selepas dibahas 21 ahli Parlimen dari kerajaan dan pihak pembangkang.

“Ahli bersetuju 158, ahli tidak bersetuju tidak ada, jumlah undi melebihi, maka usul dipersetujui,” kata Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof di Dewan Rakyat hari ini.

Kerusi baru itu adalah Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dambai, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Sementara itu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kelulusan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah menguntungkan rakyat negeri itu.

Beliau berkata, ia akan memberi peluang kepada wakil rakyat baharu menabur khidmat di sana, malah rakyat juga lebih dekat menyuarakan permasalahannya ke pengetahuan wakil rakyat.

“Ketika ini, ada kawasan pedalaman yang sukar diakses dan kurang mendapat perhatian wakil rakyat berikutan kedudukannya yang berada di jauh pedalaman.

“Ini satu usul amat penting bagi rakyat Sabah kerana mereka menuntut mempunyai perwakilan mencukupi bukan hanya suara mereka didengari, tetapi perkhidmatan yang amat ditunggu akan dapat kita jayakan.

“Walaupun kawasan penduduk tidak padat, tapi tempat jauh dan berbeza dengan kawasan lain. Jadi mereka boleh diurus tadbir bukan saja bila mana kita ada pilihanraya saja,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.