Malaysia Dateline

Dewan Rakyat perlu dedahkan nama MP yang enggan divaksin atas alasan agama

Akmal Nasir (Johor Bahru-PH) meminta agar Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon mendedahkan nama Ahli-ahli Parlimen yang didakwa masih lagi enggan mendapatkan vaksin Covid-19.

Ini susulan desas desus mendakwa masih ada Ahli Parlimen yang tidak divaksin atas alasan agama.

“Saya harap Datuk Speaker, kalau boleh dedahkan Ahli-ahli Parlimen yang tak nak vaksin.

“Sebab saya percaya kita ambil vaksin ini tidak akan merendahkan fahaman agama kita. Jadi tolong tunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya dalam Mesyuarat Khas Parlimen hari ketiga hari ini.

Terdahulu, tular di sosial media apabila seorang pengguna Twitter @AbdMalekHussin menerusi ciapan Twitternya berkata, ada seorang Ahli Parlimen yang masih belum divaksin sehingga hari ini.

Bagaimanapun dia tidak mendedahkan nama wakil rakyat tersebut khuatir boleh mempengaruhi para pengikutnya.

“Aku difahamkan, hingga ke hari ini ada seorang Ahli Parlimen belum divaksin atas alasan agama.

“Tak payahlah aku sebutkan namanya. Aku bimbang, jika disebut nama nanti akan mempengaruhi para pentaksubnya.

“Tak jadi masalah kepada Parlimen. Menurut rekod, dia pun jarang hadir Parlimen,” katanya.