Malaysia Dateline

Dewan Rakyat tanpa bersidang, Muhyiddin ditegur jangan bacul

Pemuda AMANAH Nasional memberikan respon sinis berhubung surat pemakluman yang menyatakan bahawa sidang Parlimen Isnin hadapan hanya akan melibatkan titah Diraja tanpa sebarang perbahasan akan dilakukan.

Naib Ketua Pemudanya, Kevin Shawn Gomez berkata, keputusan yang dimumkan itu mendedahkan kebaculan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Apakah Muhyiddin merasakan nyawa ahli-ahli Parlimen begitu ‘fragile’ jika dibandingkan dengan nyawa rakyat marhaen?

“Apatah lagi selepas mereka diugut Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk kembali ke tempat kerja atas sebab ekonomi negara bakal terjejas,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Menurutnya lagi, Muhyiddin juga tidak seharusnya bersikap demikian sebaliknya perlu berhadapan dengan usul undi tidak percaya yang akan dibawa blok pembangkang terhadap beliau.

“Jangan bacul, beranikan diri menghadapi usul tidak percaya terhadap anda,” katanya.

Hari ini, Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusof memberitahu tiada sebarang sidang akan diadakan selepas menerima surat arahan yang ditandatangani Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis.

Dalam surat berkenaan, Muhyiddin memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang akan berlangsung 18 Mei ini, dipinda ekoran penularan wabak Covid-19 yang masih belum reda sepenuhnya.

Justeru, Kevin mempersoalkan tindakan sekumpulan ahli DUN Kedah dari blok Perikatan Nasional (PN) yang didakwa melakukan himpunan beramai-ramai dalam satu sidang media yang diadakan semalam.

“Apakah risiko jangkitan Covid-19 lebih tinggi terhadap ahli Parlimen berbanding ahli DUN Kedah dan pengkhianat mandat rakyat yang berhimpun dengan bangga dalam satu sidang media semalam?

“Apakah Tan Sri takut mereka akan ditangkap dan didakwa di mahkamah kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti Nurul Zahid, Razman Zakaria dan Timbalan Menteri Kesihatan?,” soalnya lagi.

Dalam pada itu, Kevin menegaskan bahawa apa pun alasan Muhyiddin, institusi Parlimen wujud sebagai badan perundangan dan tidak sewajarnya diubahsuai fungsinya mengikut kehendak untuk mempertahankan kerajaan pintu belakang.