Malaysia Dateline

Dewan Rakyat tiada sidang 2 Mac

Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah menerima surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim, memaklumkan bahawa pihak kerajaan telah bersetuju supaya Dewan Rakyat dipanggil bermesyuarat pada hari Isnin 2 Mac 2020.

Namun demikian, menurut Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, beliau mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) oleh kerana tidak disusuli dengan pemberitahuan usul yang lengkap.

Mengikut peraturan mesyuarat 11(3) pemberitahuan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh beliau selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat, setakat ini tiada notis dikeluarkan.

Di samping itu beliau juga berpandangan bahawa keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan dibuat selepas mendapat pemakluman titah rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan peroses pemilihan Perdana Menteri.

“Oleh yang demikian saya memutuskan tiada mesyuarat khas dewan rakyat Isnin ini 2 Mac 2020.

“Saya akan terus meneliti perkembangan semasa dan kenyataan seterusnya tentang notis dan tarikh mesyuarat khas akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam satu kenyataan.