Malaysia Dateline

Dewan Rakyat tidak cukup korum: Menteri berada di luar negara

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan, isu Dewan Rakyat tidak cukup korum adalah disebabkan barisan menteri kabinet adakalanya menghadiri perjumpaan antarabangsa di luar negara.

Perdana Menteri berkata, bagi ahli biasa pula, adakalanya mereka tiada di dalam dewan, tetapi ahli-ahli tersebut ada di dalam bangunan Parlimen.

“Jadi, mereka (ahli-ahli tersebut) boleh dipanggil dengan membunyikan loceng.Bagi ahli-ahli biasa, mereka juga kadang-kadang mempunyai masalah lain.

“Kami telah membincangkan perkara ini dengan mendalam di peringkat kabinet. Kita telah memberi amaran kepada mereka bagi menentukan mereka hadir ke persidangan Parlimen,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu mengulas demikian ketika ditanya pemberita mengenai nasihat beliau supaya kejadian sedemikian tidak berulang lagi pada masa hadapan.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah isu tersebut dilihat sebagai satu masalah disiplin dalam barisan kabinetnya, Perdana Menteri menepis persepsi itu.

“Ini berlaku kepada mana-mana kerajaan. Ada sekali tu saya pegi ke Kongres Amerika, saya mendapati, orang itu cakap seorang sahaja dan cuma ada dua orang lagi ketika itu.

“Tetapi mereka tak bangkitkan pun soal korum. Kadang-kadang soal korum ini dibangkitkan disebabkan alasan politik,” katanya lagi.

Khamis lalu, Timbalan Speaker Nga Kor Ming terpaksa mengarahkan loceng Dewan Rakyat dibunyikan selama seminit ekoran jumlah Ahli Parlimen tidak mencukupi sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2020 pada hari tersebut.

Loceng itu telah dibunyikan pada pukul 4.06 petang, sewaktu giliran Tuan Steven Choong Shiau Yoon (PH – Tebrau) sedang berbahas.

Datuk Seri Bung Mokhtar Radin (BN – Kinabatangan) bangun memetik peraturan mesyuarat apabila beliau melihat bilangan tidak mencukupi. “Peraturan Mesyuarat 13 – nampak dewan kita ini tidak cukup korum, jadi minta ruling,” katanya, menyebabkan Nga melakukan kiraan untuk pengesahan, dan seterusnya meminta loceng dibunyikan.

Mengikut Peraturan 13(1) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat – Cukupbilang bagi Majlis Mesyuarat dan Jawatankuasa sebuah-buah Majlis Mesyuarat hendaklah mengandungi dua puluh enam orang ahli dengan tidak termasuk Pengerusi.

Jika siapa-siapa ahli menarik perhatian Pengerusi mengatakan tidak cukupbilang, maka hendaklah dipanggil ahli-ahli di luar Dewan Mesyuarat seolah-olah memanggil ahli kerana hendak diadakan belahbahagian.