Malaysia Dateline

Dewan Ulama Pas gesa pinda Perlembagaan elak konflik tukar agama berulang

Dewan Ulama Pas menggesa pindaan Perlembagaan dalam jadual kesembilan senarai negeri untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah bidang kuasa melakukan judicial review berhubung kes berkaitan umat Islam khususnya berkaitan pertukaran agama.

Menerusi kenyataan media, sayap Pas itu berkata, langkah tersebut bagi memastikan agar tiada lagi konflik berkaitan pertukaran agama berlaku pada masa akan datang.

“Dewan Ulama Pas juga menggesa agar pihak-pihak yang berkepentingan peribadi sama ada atas platform agama ataupun politik kepartian menghormati hak kanak-kanak tersebut memilih Islam sebagai agama anutan mereka tanpa membuat sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak yang menghulurkan bantuan dan kebajikan kepada kanak-kanak tersebut dengan melemparkan tuduhan negatif bahawa wujud pemaksaan ke atas mereka agar memeluk Islam sedangkan pengislaman mereka dibuat dengan kerelaan dan persetujuan bapa mereka,” kata kenyataan itu.

Reaksi sayap Pas itu susulan kes membabitkan tiga anak kepada Loh Siew Hong yang dikatakan memeluk Islam dengan hanya keizinan bapa mereka, Nagahswaran Muniandy yang juga seorang mualaf.

Namun, Loh dilapor berjaya mendapatkan semula tiga anaknya apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan habeas corpusnya terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan seorang ustazah yang pernah menjaga kanak-kanak terbabit.

Tiga anak tersebut, sepasang kembar 14 tahun dan seorang lagi berusia 10 tahun, dikatakan diambil tanpa pengetahuan Loh pada 2019.

Nagahswaran pada masa ini dipenjarakan atas pertuduhan berkaitan dadah.

Dalam masa sama, Dewan Ulama Pas juga menuntut kerajaan dan semua pihak agar memberi keutamaan kepada kemaslahatan tiga anak Loh yang telah memilih Islam sebagai pegangan akidah mereka agar tidak diusik dan dipaksa untuk kembali murtad.

Jelas sayap parti diterajui Abdul Hadi Awang itu, masyarakat Islam telah lama bersabar dan tidak mahu keharmonian agama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan akan membakar sentimen dan kemarahan umat Islam.

“Dewan Ulama Pas juga mendesak dan mengesyorkan kepada pihak kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa mediasi agama untuk memastikan kebajikan anak yang dipelihara oleh ibu atau penjaga yang bukan Islam agar diberikan keutamaan (the paramount consideration is the welfare of the children) dari sudut pemakanan, pendidikan sah yang lebih utama akidah mereka sentiasa dipelihara,” tegas kenyataan itu lagi.