Dewan Ulamak Pas Selangor alukan pindaan Akta 355

Dewan Ulamak Pas Selangor alukan pindaan Akta 355

Dewan Ulamak Pas Selangor mengalu-alukan pindaan bagi Akta 355 sebagaimana diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini.

Ketuanya Ustaz Rizuan Rahmat berkata keputusan menteri itu sebagai suatu perkembangan yang positif bagi membolehkan Undang-undang Hudud dilaksanakan di Malaysia.

“Biarpun sesetengah pihak memandang kecil pindaan ini, tetapi ia telah memberikan perkembangan yang baik untuk memperkasakan Mahkamah Syariah yang merupakan salah satu aspek yang penting dalam pelaksanaan hukum hudud.

“Dewan Ulamak PAS Selangor sentiasa menyokong sebarang usaha untuk memperkasakan lagi pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysiam,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Pindaan itu akan meningkatkan lagi kuasa Mahkamah Syariah yang sekarang ini hanya boleh menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan syarak terhad kepada 3 tahun penjara, 6 sebatan dan RM5,000 denda.

“Dengan pindaan ini, kuasa yang lebih besar akan diberikan kepada Mahkmah Syariah yang sekali gus memberikan laluan kepada pelaksanaan undang-undang hudud,” ujarnya.

Beliau juga menyatakan Dewan Ulamak Pas Selangor turut menggesa pihak yang berkaitan untuk membincangkan hukum pampasan (diyat).

“Diyat jarang sekali diutarakan kerana masyarakat akan lebih nampak keindahan Islam dalam memberikan jaminan dan ganti rugi kepada mangsa atau keluarga mangsa apabila sesuatu kesalahan dijatuhkan,” ujarnya.

Pada 18 Februari lalu, Jamil Khir Khir Baharom menyatakan bahawa Akta 355 akan dipinda bagi memperkasakan lagi Mahkamah Syariah.

TAGS