Dewan Ulamak Pas Selangor kesal cara pemilihan calon Sungai Besar

Dewan Ulamak Pas Selangor kesal cara pemilihan calon Sungai Besar

Dewan Ulamak Pas Selangor kesal pemilihan Adun Meru, Dr Rani Othman sebagai calon Pas di Sungai Besar dengan menyifatkan cara pemilihan calon parti itu menggunakan kaedah ‘pencuri lawan pencuri’.

Perkara itu disuarakan perwakilannya, Nik Baki Nikmat sambil menegaskan masih ramai pimpinan profesional dan ulama dalam Pas yang berwibawa boleh diketengahkan untuk mewakili parti Islam itu dalam mana-mana pilihan raya.

“Selangor merasakan ada sesuatu yang kalau boleh dewan ulamak ambil ketegasan dengan calon PRK, mungkin Selangor terasa dari sudut ada unsur pemilihan calon yang menggunakan kaedah pencuri lawan pencuri atau ‘harum manis lawan harum manis’.

“Ramai pimpinan kita profesional dan ulama, kita terima dan sentiasa terbuka mereka jadi pemimpin, dan ulama sokong, kita mahu profesional tulen dalam Pas, bukan cetak rompak,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Ulamak Pas dalam Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas ke-55 di Sweet Beach Resort, di sini, hari ini sebagaimana dilaporkan Sinarharian Online hari ini.

Nik Baki juga berkata, tokoh ulama perlu ditonjolkan dalam masyarakat untuk membawa perubahan dan namun ia perlu dilakukan secara konsisten.

“Selangor ingin menegaskan bahawa perlu diseminarkan perubahan, bimbang ada pemimpin Pas ghairah buat berubah, akhirnya semua nak ubah termasuk presiden.

“Ada tokoh Pas bawa diri (keluar parti) kerana ghairah bawa perubahan,” katanya lagi.

Pas mengumumkan Adun Meru, Dr Rani sebagai calon mereka di Sungai Besar walaupun beliau tidak termasuk dalam senarai calon mereka sehingga ke saat akhir.

Malaysia Dateline difahamkan, nama Yang Dipertua Pas Kapar, Noor Najhan Mohd Salleh, yang mengalahkan Dr Rani di pemilihan peringkat kawasan dalam muktamar tahun lalu adalah antara calon yang disenaraikan untuk pilihan raya kecil ini.

Turut disebut adalah Adun Sabak yang juga bekas Exco Selangor, Salehin Muhyi yang tinggal di kawasan bersebelahan dengan Sungai Besar.

Dr Rani ketika diumumkan sebagai calon memberitahu lidah rasmi Pas, Harakahdaily, beliau rapat Adun DAP Sekinchan, Ng Suee Lim.

“Saya sangat berharap Adun Sekinchan dari DAP, Ng Suee Lim dapat membantu saya untuk berkempen. Adun Sekinchan merupakan kawan rapat saya.

“Saya kagum dengan kemahiran beliau yang boleh menghafal maksud firman Allah ketika berucap dalam sidang Dewan Negeri,” kata Dr Rani sebagaimana dipetik Harakahdaily.

Dr Rani juga mengaku beliau ada menyumbang wang untuk majlis anjuran parti Amanah di Petaling Jaya tahun lalu.

TAGS