Malaysia Dateline

Di ambang maut

Umur saya 45 tahun. Setakat ini saya pernah berjumpa 3 kali bagaimana dikatakan saat diambang kematian. Salah seorangnya adalah bonda noriah iaitu ibu saya.

Arwah mak pergi sangat mudah dengan satu tarikan nafas panjang dan pergi buat selamanya. Ianya berlalu di hadapan mata saya. Mungkin amalan mak dengan mengaji Quran setiap hari memudahkan proses kematiannya.

Tika saya berada di hospital tempoh hari sebelah katil saya ada orang yang meninggal. Ianya adalah warga Bangladesh yang baru sahaja masuk 4 hari ke hospital. Saya perhatikan perangai dia lain macam.

Sehari sebelum dia meninggal, dia sudah tidak dapat mengawal dirinya seperti terkencing atas katil, mengerang tidak berhenti, paling ketara bila biskut yang cuba dimakan tak boleh ditelan dan hanya penuh dalam mulutnya. Terpaksa nurse keluarkan semula kerana tersedak.

Sudah berberapa hari dia tak tidur dan tak makan. Air pun tak boleh masuk ke badan. Teringat tanda-tanda kematian.

Dia tak dapat tidur, dia akan mengerang kesakitan. Katanya masalah penafasan. Lingkungan jam 3 pagi saya perasan katil sebelah macam orang mengelupour. Saya terjaga dari tidur. Saya tak dapat melihat dengan jelas kerana tirai pembahagi katil dipasang. Sedangkan saya memang tak boleh turun dari katil disebabkan oleh kaki saya yang tak boleh berjalan lagi tika itu.

Saya cuba panggil nurse, pesakit lain semua tidur. Lebih kurang seminit, suaranya makin slow mengerang. Makin lama makin slow dan selepas beberapa ketika saya tak dengar lagi suaranya. Saya fikir mungkin dia telah pergi buat selamanya.

Lebih kurang jam 5 pagi setiap hari nurse akan datang dan akan ambil darah, tengok bacaan kencing manis macam mana, tekanan darah ok ke tak. Jika perlu akan ditukar alas tilam, dan pesakit dibersihkan.

Tiba giliran saya. Saya bisikan pada nurse yang saya rasa pesakit sebelah telah meninggal dunia.

Tiba-tiba, tanpa tanya banyak, beberapa nurse terus ke sebelah dan menutup tirai keseluruhan. Saya dapat agak, doktor datang dengan tergesa-gesa dan buat sesuatu dalam setengah jam.

Saya tahu, pesakit itu telah meninggal dunia. Saya rasa sayu bagaimana ibu, ayah, keluarga dia. Dia meninggal seorang diri tak ada saudara mara di sini dan katanya pasport pun tak ada padanya. Sukar mengurus jenazahnya untuk dihantar pulang ke negara asalnya.

Nyawa dihujung tanduk

Tika saya berada diward ICU. Dua orang Dokter datang.

“En Bahar. Saya Dr…. saya nak maklumkan yang keadaan Encik Bahar kurang stabil. Kami buat keputusan yang En Bahar perlu ditidurkan.”

Saya memalingkan muka saya ke tingkap melihat luar beberapa saat dan saya bertanya semula “adakah tak ada cara lain ke dokter “. Saya tak ingat apa respon dia.

“Encik Bahar banyak beristifar, ingat Allah. En Bahar boleh call isteri dan keluarga terdekat. Kita akan mulakan proseding jam 8 malam ni.”

Saya tak terkata apa-apa. Terus teringat beberapa sahabat saya yang meninggal dunia setelah ditidurkan. Ada juga yang kena strok dalam tempoh itu dan mendapat sakit kekal.

Antara yang paling terkesan adalah guru dan sahabat saya arwah Sazalis Khalido yang telah pergi buat selamanya. Beberapa hari sebelum dia meninggal dia masih menghubungi saya dan bertanya tentang keadaan saya.

Walaupun anda CEO, walau anda orang yang paling kuat, paling handal, paling berjaya, paling garang, paling sombong. Tika itu semuanya bukan keputusan anda. Ianya adalah keputusan orang lain. Saya serahkan dan tawakal pada Allah.

Saya berdoa agar dapat saya diberi peluang kedua melihat anak-anak saya. Secara tiba-tiba air mata saya meleleh. Saya rasa sayu dan rindu saya pada anak-anak. Saya teringat budi adik beradik, isteri dan orang lain pada saya. Saya teringat mak dan ayah. Sementara mulut saya tidak berhenti membaca istighfar tidak berhenti.

“Awin, doktor kata bla bla bla” . Saya tahan suara saya tika bercakap dengan isteri saya. Part kedua ni yang saya tak boleh tahan “Abang serahkan tanggungjawab menjaga anak-anak pada Awin. Abang tahu Awin kuat. Abang tahu Awin boleh. ”

“Moganya boleh kita jumpa semula. Jika tidak, maafkan abang dari mula kita kenal. Awin aturkan hidup seperti abang selalu ajarkan dan cakap. Kirim salam semua anak kita dan mak. Cakap dengan mereka ayah sayang semua.”

Awin bersuara.

“Awin maafkan bang dan Awin rehdo. Abang jangan fikir banyak – banyak. Abang berehat. Tak ada apa, abang pasti akan selamat dan balik jumpa kami semua.”

Subahanallah. Allahuakabar. Tika saya menulis posting ini pun saya masih menanggis. Kecekalan dan ketenangan Awin memang tak dapat saya pertikaikan.

Banyak perkara dalam perjalanan hidup kami tempohi dan dia seorang yang tenang. Dalam waktu kritikal begitu dia masih tenang dan bertahan. Dia beri saya harapan “Abang kena kuat, abang kena sihat, abang ada kami. Kami tunggu abang. Awin dan anak-anak akan sentiasa doakan abang.”

Tiba-tiba saya jadi yakin dan kuat. Saya yakin saya akan selamat. Saya yakin saya akan terus sihat dan saya akan bertemu semula anak-anak saya. Tiba masanya saya akan dibius dan ditidurkan.

Saya hanya berpesan. Jika jadi apa-apa, kirim salam isteri dan anak-anak saya. Saya tahu mereka mungkin tak kenal isteri dan anak saya tapi saya hanya sampaikan yang itu sahaja harta saya di dunia ini. Tiba-tiba saya sudah tak ingat apa yang berlaku.

#Covid19 sangat jahat. Setiap hari kes meningkat. Allah pilih saya untuk kena dan antara pesakit yang kritikal dan stage 5. 10% antara yang kena Covid-19 akan ada kemungkinan di peringkat kritikal. Ianya lebih teruk jika yang kena ada penyakit kencing manis, masalah jantung, masalah darah tinggi dan lain-lain.

Ramai antara kita yang kadang-kadang tak tahu penyakit yang mereka hadapi. Hari ni sudah mencecah 1600 korban kerana #Covid-19 itu tidak termasuk mereka yang meninggal dari kesan Covid. Jangan fikir Covid tidak memberi kesan sampingan. Seorang sahabat saya sudah bebas dari Covid dua hari pulang ke rumah sesak nafas dan meninggal kerana masalah paru-paru.

Saya saksikan sendiri bagaimana para doktor dan jururawat berkerja. Mereka bertungkus lumus. Mereka cuba menyelamatkan nyawa. Bayangkan sahaja, jika ada antara kita yang memperlekehkan dan memaki hamun tindakan KKM. Ada yang kononnya angka hanya dicipta-cipta, bertaubatlah.

Kita marah-marah tak dapat balik raya. Bayangkan mereka, bukan sahaja balik raya mereka berkerja tanpa henti. Pesakit Covid-19 telah melimpah-limpah. Mereka juga terpaksa melayan kerenah pesakit dan keluarga. Mereka frontliner sangat baik.

Saya terhutang budi pada semua doktor, nurse dan kakitangan Hospital Muar. Mereka melayani saya dengan baik. Moga Allah berikan kekuatan pada mereka semua.

Mereka yang sentiasa memberi semangat pada saya tika saya lemah, mereka yang menghiburkan saya tika saya sedih, mereka yang melayan kerenah saya dengan sabar, mereka yang bersihkan saya dan mereka yang suapkan saya tika saya belum kuat makan sendiri.

Itulah pengalaman. Jodoh, maut itu di tangan Allah. Saya mohon sahabat semua bersabar. Jagalah keluarga kita dari risiko dijangkiti. Jangan berkumpul-kumpul, gunakan penutup mulut ketika keluar. Jangan berjumpa ramai orang.

Anda bantu diri anda, anda boleh bantu ramai orang lain.
————
Ini adalah pengalaman nyata penulis berdasarkan luahan di Facebooknya.