Malaysia Dateline

Di antara sentimen dan demokrasi dalam kempen Buy Muslim First

Manusia gagal membebaskan diri sepenuhnya dari sentimen. Ada yang sensitif dengan agamanya, ada pula yang prihatin terhadap bahasanya; Ada yang bermegah dengan budayanya, ada pula yang terpaut dengan jiwa bangsanya.

Sentimen ini bersifat peribadi. Ia mempengaruhi keutamaan pilihan kita dalam hidup. Misalnya, andainya ibu bapa kita dikejarkan ke hospital, kita menyimpan niat “kalau boleh ibu bapa kita didahulukan untuk rawatan” – sungguhpun ramai lagi pesakit yang beratur di depan, dan mungkin lebih parah daripada keadaan orang tua kita.

Justeru, tidak sukar untuk memahami hasrat sesetengah Muslim yang mendahulukan produk Muslim, malah menyahut seruan “penyatuan ummah”. Dari kempen #BMF (Buy Muslim First, bahasa Inggeris pulak!), hinggalah gandingan Umno-Pas atas nama “Muafakat Nasional” – semuanya manifestasi sentimen.

Suka atau tidak, ini adalah kebebasan dan hak masing-masing. Semua pengguna bebas menggunakan wang dalam poketnya, dan hak berpersatuan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Umno dan Pas tidak boleh dibubarkan atas alasan “pertubuhan ini eksklusif untuk Melayu-Muslim sahaja”; begitu juga dengan Dong Zong yang sering diperlihatkan sebagai pejuang untuk pendidikan bahasa ibunda mereka.

Perlu diingatkan bahawa demokrasi, hak asasi, kebebasan datang dalam satu pakej. Demokrasi tanpa hak asasi bakal menyaksikan penindasan majoriti ke atas minoriti, misalnya jika satu hari kaum majoriti mengundi untuk menghapuskan kaum minoriti. Hak asasi bermaksud hak yang tidak boleh dicabul dalam apa keadaan sekalipun.

Sementara itu, kebebasan tanpa demokrasi boleh mengganggu pentadbiran sesebuah negara. Bayangkan, bagaimana keputusan dibuat andainya semua pihak menuntut agar agenda dirinya diutamakan? Ia perlu pengundian untuk menentukan keutamaan, dan untuk negara yang menjiwai semangat demokratik, semua pandangan akan diambil kira sebelum apa-apa keputusan disepakati.

Semua ini teori asas dalam politik. Konsep-konsep sedemikian perlu jelas dalam minda kita, sebelum kita mengambil pendirian dan membuat kenyataan tertentu. Kita tidak boleh berlapang dada terhadap Umno dan Pas, tetapi pada masa yang sama menggesa agar Dong Zong diharamkan. Seandainya kita bersikap jujur, kita akan berpegang kepada kayu ukur yang sama ketika menilai – agar tidak berlaku double standard.

Hanya apabila semua prinsip ini difahami, barulah kita beralih kepada peringkat seterusnya. Mengiktiraf hak dan kebebasan seseorang individu mahupun kumpulan manusia, tidak membawa maksud bahawa mereka kebal dari segala kritikan. Dengan kata lain, Umno dan Pas bebas memilih gandingan sekutu, Dong Zong berhak untuk memperjuangkan pendidikan bahasa ibundanya, begitu juga dengan kempen BMF yang dilancarkan. Kritikan dilontarkan bukan untuk “mengharamkan” mereka dari segi undang-undang, tetapi untuk menawarkan pandangan agar khalayak ramai mempertimbangkannya.

Justeru, kritikan yang dilontarkan lebih kepada kesan keputusan individu atau kumpulan berkenaan. Misalnya, Dong Zong boleh dipertikaikan jikalau pertubuhan ini memperlihatkan pendekatan yang dianggap kurang sesuai untuk masyarakat majmuk ketika memperjuangkan agendanya.

Ambil contoh isu Muafakat Nasional, apakah tawaran Pas bersama Umno memanfaatkan masyarakat Malaysia keseluruhannya? Sememangnya ia kebebasan untuk Pas dan Umno menjuarai retorik bahawa bumi ini “Tanah Melayu”, tetapi di manakah susuk tubuh pemimpinnya apabila sisa sampah negara asing diseludup untuk ditanam di bumi milik Melayu ini? Bukankah Menteri DAP-wanita-bukan Muslim-Cina seperti Yeo Bee Yin yang berhempas-pulas untuk mengharamkan kilang yang membawa masuk sampah-sarap berkenaan? Siapa yang mempertahankan kedaulatan dan maruah tanahair Malaysia di sini?

Begitu juga dengan kempen #BMF. Apabila produk diasing-asingkan antara Muslim dengan non-Muslim, bukankah ia memungkinkan majikan non-Muslim untuk “mengutamakan pengambilan pekerja non-Muslim”, dan pengguna non-Muslim untuk “mengutamakan pembelian produk non-Muslim”, sebagai reaksi kepada kempen #BMF? Jadi, bagaimana peniaga Muslim boleh bertahan jikalau kebetulan tapak rezekinya terletak di tengah-tengah masyarakat yang populasi Muslimnya minoriti?

Mengapa kita memecahkan keseimbangan yang ada sebelum ini, iaitu masyarakat Muslim dan non-Muslim saling membantu, sehingga ada peniaga non-Muslim yang berkerut dahi tengah-tengah masyarakat Muslim, dan peniaga Muslim pula merana di tengah-tengah masyarakat non-Muslim? Berapa orang peniaga Muslim yang boleh masyarakat Muslim hulurkan tangan untuk membantu, jikalau ditimpa keadaan sedemikian?

Seandainya dibandingkan, kerajaan umpama pentadbir sesebuah hospital. Semua pesakit mahu dirinya diutamakan untuk mendapat rawatan, tetapi sistem mesti diwujudkan untuk memastikan semua pesakit dilayan seadil yang mungkin. Saya gagal membayangkan jikalau mana-mana hospital awam di Malaysia mewujudkan sistem “rawat Muslim dahulu”, kerana sudah tentu doktor non-Muslimnya akan boikot sistem sebegini. Akhirnya, rugi siapa?