Di APEC, Dr Mahathir minta jangan abaikan mereka yang kalah dalam era teknologi

Di APEC, Dr Mahathir minta jangan abaikan mereka yang kalah dalam era teknologi
Dasar juga seharusnya mengambil kira faktor 'orang yang kalah'. Sebagai contoh, kedai menjual peralatan membina rumah, pemandu teksi, hotel-hotel kecil yang 'kalah' pada era gangguan teknologi ini tidak seharusnya dipinggirkan, kata Tun Mahathir.

Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir memberitahu kepada pemimpin perniagaan di Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2018 tentang gangguan teknologi (technological disruption) yang sering dianggap positif di dalam dunia perniagaan, tidak seharusnya melebarkan jurang ketidaksamaan.

Dr Mahathir turut menjelaskan kesan gangguan teknologi di Malaysia dan negara lain, seperti aplikasi perkongsian kenderaan, rungutan hotel berkaitan platform perkongsian rumah, atau kedai menjual peralatan membina rumah yang menghadapi persaingan dengan penjual atas talian.

“Cabarannya ialah bagaimana kita memastikan tiada sesiapa yang akan ketinggalan dalam zaman gangguan ini,” jelas Dr Mahathir ketika menyampaikan ucaptama di kapal persiaran Pacific Explorer, lapor Malay Mail.

“Ada segelintir yang akan perlahan dalam kemajuaannya manakala ada yang pantas. Tetapi jika kita fahami prosesnya, momentum pasti akan bertambah.

“Walaubagaimanapun, kita seharusnya memastikan gangguan ini tidak melebarkan jurang ketidaksamaan kerana ia tidak baik bagi perkembangan dan kestabilan sosial,” katanya.

Beliau menambah bahawa gangguan ini tidak hanya terdapat pada teknologi semata, tetapi turut wujud dalam sektor politik dan ekonomi.

“Manfaat perdagangan bebas dan adil serta integrasi ekonomi telah runtuh, dan dapat dilihat daripada Brexit dan perang dagang antara ekonomi maju.

“Perang dagang antara Amerika Syarikat dan China juga turut menggangu perdagangan Malaysia,” jelas beliau.

Loading...

Menurut Dr Mahathir, kerajaan juga seharusnya memastikan teknologi mudah di akses dan berpatutan, termasuk kepentingannya dalam soal pendidikan.

Tambah beliau, “Sejarah telah menunjukkan bahawa negara yang memberi respon melalui strategi yang pantas, sistematik dan koheren terhadap gangguan selalu memberi kelebihan kepada rakyatnya untuk mengikuti arus perubahan radikal.”

Beliau turut memetik contoh program latihan di Malaysia, serta biasiswa untuk golongan profesional and pembelajaran sarjana, dan program untuk golongan belia berkaitan teknologi untuk mendepani gangguan teknologi serta Revolusi Industri Ke-4 ini.

Malaysia juga turut mempertimbangkan untuk memperkenalkan modul teknologi di dalam kokurikulum sekolah.

“Dasar juga seharusnya mengambil kira faktor ‘orang yang kalah’. Sebagai contoh, kedai menjual peralatan membina rumah, pemandu teksi, hotel-hotel kecil yang ‘kalah’ pada era gangguan teknologi ini tidak seharusnya dipinggirkan. Dasar yang diperkenalkan seharusnya menggalakkan mereka untuk dilatih semula dan bekerja semula.

“Perlunya pembangunan kapasiti, terutamanya bagi negara-negara membangun untuk menghadapi era gangguan. Pelaburan dalam infrastruktur seperti 5G boleh menjadikan organisasi pelbagai hala sebagai pemudah cara. Setiap negara mesti membuat pelaburan di dalam sektor teknologi maju,” jelas Dr Mahathir.

Beliau turut menggesa kerjasama antarabangsa dalam mengawal gangguan teknologi ini.

“Adakah jangkaan kita bahawa zaman gangguan yang memerlukan pelarasan dan perubahan besar untuk menghadapi perubahan radikal ini termasuk keperluan kita untuk menilai semula dasar perdagangan dunia and integrasi ekonomi?”

“Perdebatan berkaitan maklumat domestik data, hak harta intelektual and hal-hal berkaitan akan berterusan, tetapi falsafah untuk mendapat perjanjian bersama ialah ia seharusnya memanfaatkan kerajaan, bukan hanya syarikat korporat besar atau ekonomi maju sahaja,”.

Dr Mahathir juga turut menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa untuk memastikan semua pihak mendapat manfaat daripada kemajuan teknologi ini.

“Daripada suatu sudut pandang, proses untuk membina kapasiti akan akhirnya membuka peluang perdagangan yang bersifat inklusif,”.