Malaysia Dateline

Di bawah kerajaan Melayu Islam, ada lagi Oktoberfest rupanya

Pesta arak Oktoberfest 2021 rupa-rupanya masih dianjurkan lagi walaupun Pas sudah berada dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Digembar-gemburkan sebagai kerajaan Melayu Islam, penganjuran pesta arak yang berasal dari Jerman itu dipromosikan secara terbuka di media sosial ketika negara masih diancam penularan wabak membawa maut, Covid-19.

Laman Facebook Factory 57 Bar & Bistro dalam hebahannya antara lain memaklumkan tiga jenama minuman keras sepanjang hari sementara stok masih ada.

“Oktoberfest 2021. So you think you can drink?” kata pusat hiburan di Kota Kinabalu, Sabah itu berserta nombor telefon untuk dihubungi.

Sebelum ini, semasa tempoh 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), Pas terutamanya lantang membantah penganjuran Oktoberfest.

Pada ketika itu, dua pemimpin dari AMANAH iaitu parti yang menjadi musuh ketat Pas; Datuk Seri Mujahid Yusof dan Khalid Abdul Samad dilihat menjadi sasaran parti berlogokan bulan itu.

Penyokong Pas dan khalayak umum yang terpancing dengan sentimen sempit agama pada masa itu juga dilihat garang menyerang kedua-dua Ahli Parlimen terbabit yang masing-masing sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan Menteri Wilayah Persekutuan.

Bahkan, ketegasan pemimpin kanan Pas dalam membantah Oktoberfest juga dirakamkan dalam persidangan Dewan Rakyat selepas PH mendapat mandat rakyat di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Antaranya, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di Parlimen pada 2018 menyifatkan pesta arak Oktoberfest sebagai satu budaya yang tidak sesuai dipromosi di negara ini kerana ia boleh merosakkan akhlak rakyat.

“Apakah nilai yang kita perlu tanam kepada rakyat? Saya fikir semua agama tidak bersetuju membudayakan minum arak ini, tidak ada agama yang setuju, tidak ada kajian yang mendorong kepada kebaikan.

“Nilai ini tidak sesuai dengan budaya tempatan dan tidak sesuai dipromosi besar-besaran hingga menjadikan suatu fenomena bagi negara kita,” kata Timbalan Presiden Pas itu yang sekarang Menteri Alam Sekitar dan Air.

Untuk rekod, sektor hiburan membabitkan kelab malam, pub dan pusat karaoke hiburan tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac tahun lalu.

Ketiga-tiga perniagaan itu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Februari lalu ketika menjadi Menteri Kanan (Keselamatan), tidak pernah diberi kebenaran dan kekal berada dalam senarai larangan beroperasi.

Reaksi Ismail ketika itu susulan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 8 Februari mengeluarkan poster berkaitan larangan operasi kelab malam dan pub serta restoran di dalam premis hiburan terbabit.

Tindakan membuat ‘pusingan U’ itu berlaku selepas MKN dalam prosedur operasi standard (SOP) PKP yang dikemaskini pada 4 Februari membenarkan restoran termasuk di kelab malam dan pub beroperasi hingga 10 malam.