Malaysia Dateline

Di kala PH nampak bersaing sesama sendiri, Umno-Pas tambah celaru

 

Kita tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan konflik dalaman ekoran “penyatuan pembangkang” Umno-Pas.

Kedua-dua parti Melayu ini cuba untuk menyelaraskan gerak kerja politik bagi merebut kuasa menjelang PRU15, malah keghairahan mereka, bagi menumbangkan kerajaan PH lebih awal lagi, tidak dapat disembunyikan.

Impian dan hasrat politik itu tidaklah salah. Ia adalah lumrah buat mana-mana parti politik pembangkang, apatah lagi deretan pemimpin besar Umno sedang berdepan perbicaraan di mahkamah. Hanya dengan menjatuhkan kerajaan PH, Najib Razak, Zahid Hamidi, Tengku Adnan Mansor, dan ramai lagi boleh terlepas daripada hukuman berat dan deraan yang mengaibkan.

Di atas kertas, susulan kerjasama politik yang dimeterai di PWTC itu, beberapa negeri dilihat bakal dikuasai BN-Pas, iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah. Kerajaan pusat juga dikira mampu ditawan jika pola pengundian dalam PRU14 kekal. Itulah yang dimimpikan pemimpin pembangkang siang dan malam sambil mendakyahkan PH hanya kerajaan sepenggal.

Bagaimanapun, realiti politik tidak semudah itu. Muafakat Umno-Pas mungkin nampak diterima baik pemimpin atasan masing-masing, namun di lapisan akar umbi riaknya agak berkecamuk. Malah di peringkat tertinggi pun, reaksinya bercelaru. Kepentingan diri dan kelompok masih menguasai strategi atau pendekatan politik yang dipilih.

Sebahagian pemimpin Umno masih terasa terhutang budi dengan Najib dan menjadikan bekas perdana menteri yang sibuk dengan kes mahkamah 1MDB itu sebagai ikon. Bagi kelompok yang lain pula, parti terbeban teruk dengan rekod buruk Najib dan mahu Umno tidak dikaitkan lagi dengan tertuduh utama skandal supermega 1MDB itu.

Zahid, yang memikul puluhan pertuduhan serius salahguna kuasa dan korupsi, menghadapi saingan daripada Mohamad Hassan, timbalannya, yang pernah memangku jawatan presiden. Kedua-duanya mempunyai pendekatan dan strategi berbeda, khususnya untuk memulihkan imej parti. Belum dikira faktor Hishammuddin Hussein, bekas naib presiden dan menteri kanan, yang turut mengorak langkah politik berbeda.

Umno juga bergolak dalam menentukan pendirian terhadap proses peralihan kuasa, daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim. Usaha membentuk kerajaan melalui pintu belakang juga rancak digerakkan, bukan hanya di peringkat nasional tetapi juga di negeri-negeri tertentu. Umno cuba mengambil kesempatan di atas perselisihan pendapat dalam PH mengenai tarikh sebenar transisi politik. Tidak pelik jika Umno bertelingkah teruk semasa mengharapkan kesepaduan komponen parti PH turut robek.

Di sebelah Pas, cadangan memantapkan pakatan politik dengan Umno, yang seharusnya bermula di peringkat negeri Kelantan dan Terengganu nampak sukar dilaksana. Apakah para pemimpin Pas dua negeri terbabit bersedia untuk berkompromi bagi menubuhkan kerajaan campuran? Siapakah anggota Exco yang sanggup digugurkan bagi memberi laluan kepada Adun Umno?

Pas menang besar di Pantai Timur dalam PRU14 tanpa bantuan atau kerjasama daripada parti-parti lain. Mungkin atas faktor itu, ramai pendukungnya beranggapan kemenangan mutlak Pas tidak perlu dikongsi bersama Umno. Lagipun permusuhan zaman berzaman itu berasaskan ideologi dan prinsip perjuangan Islam yang jelas. Sekiranya muafakat mahu dilakar, ia seharusnya bermula pada kempen PRU15 nanti.

Persefahaman di antara Umno dan Pas bukan dijalin oleh prinsip dan dasar yang murni. Muafakat parti-parti pembangkang yang kalah ini hanya didorong oleh kekalahan PRU14 dan mungkin rasa dengki melihat bekas sekutu Pas kini, khususnya Parti Amanah Negara, yang dihina dan dikecam kini menjawat kedudukan penting dan strategik. Parti Islam progresif yang diramal singkat usia dan pendek nafasnya itu sekarang sama-sama menerajui negara dan semakin mendapat sambutan ramai selepas empat tahun ditubuhkan.

Itu belum diperincikan reaksi pengundi bukan Melayu dan parti-parti pembangkang selain Umno-Pas. Sudahlah dalam Umno sendiri sukar mencari persetujuan bagi mengasaskan pendekatan lebih relevan untuk menarik sokongan pelbagai kaum dari segenap wilayah, kesukaran membentuk gabungan parti bagi menyaingi PH turut menjadi cabaran besar.

Walaupun sokongan pengundi bukan Melayu kepada PH sudah mencapai “siling” dalam PRU14 dan ada rasa tidak puas hati yang agak menyeluruh dengan prestasi kerajaan baharu terutama dalam konteks menunaikan janji manifesto, tetapi dengan sikap politik Umno-Pas mutakhir ini, potensi mereka untuk mengundi pembangkang begitu kabur sekali. Mungkin peratusan tidak keluar mengundi lebih tinggi sebagai tanda protes tetapi bukan memangkah BN dan sekutunya.

Pembangkang khususnya Umno-Pas juga tidak berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif. Tiada gagasan besar dan praktikal untuk memulihkan negara yang didakwa mereka keadaan semakin teruk dan buruk berbanding zaman BN dahulu. Retorik yang selalu dicanangkan, “Melayu terancam dan Islam semakin terpinggir”, tanpa mengemukakan fakta dan data sokongan. Sentimen perkauman dan keagamaan sempit dimarakkan, ditambah faham kebencian melulu. DAP dijelmakan sebagai “hantu jadian” dan penguasa sebenar di Putrajaya bagi menakutkan orang Melayu serta memusatkan sokongan kepada Umno-Pas.

Pembangkang mengharapkan PH terbelah dua, khususnya ekoran persengketaan pelan peralihan kuasa. Namun, mereka juga masih gagal membentuk persefahaman jitu atau menyediakan asas kukuh landasan muafakat baharu itu. Segalanya masih terbuka kepada seribu kemungkinan. Rakyat tekun memerhati aksi setiap aktor politik berpencak silat di tengah gelanggang. Mereka mungkin tiada banyak pilihan tetapi kebijaksanaan “hakim negara” ini tidak boleh diremehkan.

Pakatan Harapan pula, jika gagal menguruskan perang persepsi ini dengan baik dan membiarkan komponen parti atau sesama parti berselisih tanpa titik nokhtah, kesabaran rakyat juga ada limitnya. Masalah kos sara hidup, peluang pekerjaan, harga komoditi asas, kesenjangan pendapatan, kemiskinan desa dan kota, terus mengasak; ia harus diberikan tumpuan penuh oleh anggota pentadbiran.

Agenda reformasi dan langkah pembaharuan bagi mengangkat kualiti hidup rakyat tidak boleh tertangguh lagi. Politik ada musimnya, jangan terheret membicarakan persoalan personal sehingga membantutkan usaha perubahan menyeluruh yang didambakan rakyat.