Di LTdL, setiap detik penting

Di LTdL, setiap detik penting

Pernahkah anda terfikir apa dilakukan pelumba yang sedang bersaing pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2019 atau mana-mana perlumbaan, jika mereka mahu ‘melepaskan hajat’.

Maka, jangan hairan atau pelik.

Seperti lagu daripada filem Disney ‘Frozen’, “Let It Go”, mereka hanya lakukannya…

Lagi pun, setiap detik bagi mereka adalah sangat penting.

Mereka tidak boleh berhenti ‘melepaskan hajat’ dan kemudian mengejar kelompok pelumba lain.

Perkara tersebut tidak akan terjadi, terutama pada perlumbaan berprestij seperti LTdL.

Bagaimanapun, inilah yang berlaku semasa peringkat ketiga dari Muar ke Putrajaya melibatkan laluan sejauh 192.6km hari ini.

Seorang pelumba asing didapati ‘melepaskan hajat’ ketika berkayuh di tengah-tengah kelompok pelumba.

Dan, ‘aksi’ tersebut dirakam secara tidak sengaja oleh jurugambar Bernama, Muhammad Mustaqim Khairuddin.

“Ketika sedang mengambil gambar kelompok pelumba, saya tidak tahu apa dia lakukan. Saya hanya menyedari ada pelumba sedang ‘melepaskan hajat’ semasa mengedit gambar untuk dihantar ke ibu pejabat,” katanya.

Keadaan itu menunjukkan betapa sengitnya perlumbaan tersebut bagi meraih kemenangan.

Persaingan LTdL akan diteruskan dengan peringkat keempat esok, dari Shah Alam ke pendakian berstatus Hors di Genting Highlands setinggi 1,645 meter.- BERNAMA