Malaysia Dateline

‘Di luar seolah-olah bersatu tetapi hati mereka berpecah’

Nampak seperti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) tiada masalah antara mereka. Hakikatnya, tidak. Masing-masing ingin membolot kuasa. BN tidak mahu berkongsi kuasa PN.

Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, sebelum DUN dibubarkan pun tidak jelas nama kerajaan negeri.

“Kita pun tidak tahu nama kerajaan Johor yang lepas. Kerajaan BN atau PN?

“Kita bertanya dalam Dewan, kerajaan yang ada sekarang ini kerajaan BN atau PN. Menteri pun tidak jawab.

“Di luar seolah-olah mereka bersatu tetapi hati-hati mereka berpecah. Inilah yang dinyatakan dalam al-Quran,” katanya dalam Ceramah PRN Johor 2022 malam tadi.

Beliau yang juga Pengerusi PH Johor akan bertanding di kerusi DUN Parit Yaani yang disandangnya.

Seramai 2.597 juta pengundi layak mengundi pada PRN Johor, 12 Mac ini.

'Di luar seolah-olah bersatu tetapi hati mereka berpecah'
Aminolhuda Hassan

Mengulas lanjut, Aminolhuda berkata persaingan BN dan PN terbukti dalam PRN Melaka dan seterusnya PRN Johor.

“Di peringkat Persekutuan dan Johor sebelum bubar, mereka duduk sebagai satu kerajaan hinggakan waktu nak bubar pun ahli-ahli Exco di kalangan Bersatu, mereka pun tidak tahu betulkah sebab masa PRU14 dulu kami sama-sama sepentas berceramah termasuk Presiden Bersatu.

“Apabila berlakunya Langkah Sheraton lalu tertubuhlah kerajaan yang tiada nama. Sekejap nama BN, sekejap nama PN,” katanya.

Bekas Exco kerajaan negeri Johor itu juga menegaskan bahawa pilihan raya yang dipaksakan ketika ramai rakyat terkesan akibat wabak Covid-19 ini adalah ekoran kerajaan sejak awal lagi tidak stabil.

“Hari ini rakyat dalam keadaan sukar untuk urusan keluarga. Ada pekerja yang diberhentikan kerana syarikat tutup operasi,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, sebelum DUN Johor dibubarkan, BN dan PN memiliki 28 kerusi berbanding 27 kerusi PH.

Pada PRN Johor minggu depan, BN akan menampilkan lebih 70 peratus muka baharu di 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, dengan Umno menampilkan 37 calon, MCA (15) dan MIC (empat).

Sementara itu, PN juga bakal bertanding di kesemua kerusi DUN dengan mempertaruhkan 41 muka baharu dan mengekalkan 15 calon yang pernah bertanding pada pilihan raya sebelum ini.

Calon-calon PN terdiri daripada 33 wakil Bersatu, Pas (15) dan Gerakan (lapan).

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pula mempertaruhkan 42 calon bagi PRN Johor, dengan 54 peratus daripada mereka terdiri daripada calon berusia di bawah 50 tahun, termasuk calon termuda berumur 26 tahun.