Malaysia Dateline

‘Di luar tugasan rasmi, saya pergi seorang, tak pakai polis pengiring’

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memberitahu beliau tidak akan menggunakan khidmat ‘rider’ atau polis pengiring dalam urusan seharian sebagai anggota kerajaan.

Beliau berkata demikian menjawab soalan pengguna Twitter yang bertanya sama ada menteri dalam Kerajaan Perpaduan menggunakan polis pengiring atau tidak.

Individu yang menggunakan akaun @AKML ABU mempersoalkan perkara berkenaan kerana menurutnya, ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15 ), Rafizi menegaskan kerajaan perlu menghentikan perkhidmatan ‘rider’ untuk menteri kecuali Perdana Menteri.

“Menteri-menteri Kerajaan Perpaduan PMX korang ni pakai rider tak? Hari itu bukan main Rafizi cakap kena stop bagi rider selain PM,” ciap individu tersebut.

Kerana itu, Rafizi membalas bahawa di luar tugas rasmi, beliau akan bergerak sendiri tanpa kawalan polis pengiring.

“Saya tak pakai rider.

“Pengiring hanya seorang dan hanya untuk urusan rasmi sebagai menteri.

“Di luar tugasan rasmi sama macam dulu, saya pergi seorang,” ciapnya.

Timbalan Presiden PKR itu juga berkata, tidak akan ada program kementeriannya yang digunakan untuk berkempen bagi meraih undi.

“Insya Allah tak akan ada program kementerian yang diguna untuk berkempen dapat undi.

“Prestasi sebagai menteri yang tentukan dapat undi ke tak,” katanya lagi.

Setakat ini juga beliau memaklumkan menteri memang tiada keistimewaan menggunakan polis pengiring.

Baca juga: Steven Sim bantu peniaga langsaikan hutang rumah sewa yang tertunggak 6 bulan, bertekad bantu kewangan rakyat

Baca juga: Dulu jual ikan kering dan sayur, sekarang jadi syarikat teknologi gergasi