Malaysia Dateline

Di Malaysia kerajaan halang NGO bantu, di Perancis digalakkan

Pengarah Kesihatan Perancis, Jerome Salomon menyeru rakyat negara itu supaya tampil menggerakkan usaha serta bersolidariti bagi menangani krisis akibat wabak Covid-19.

Menurut laporan Le Monde semalam, Jerome menyeru semua sukarelawan supaya pergi ke laman web Jeveuxaider.gouv.fr jika ingin membantu pertubuhan-pertubuhan terbabit dalam suaha berkenaan.

Katanya, tumpuan adalah terhadap empat misi utama iaitu mengedarkan makanan, penjagaan kanak-kanak terbiar, menjalin hubungan dengan mereka yang tersisih, serta bersolidariti dengan penduduk tempatan.

Namun di Malaysia, semalam, Majlis keselamatan Negara (MKN) memutuskan bahawa NGO, parti politik dan sebagainya tidak lagi dibenarkan mengedarkan sumbangan kepada mana-mana badan dan individu secara sendirian dan hanya boleh disalurkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat sekali gus diedarkan oleh anggota Rela dan Agensi Pertahanan Malaysia.

Sehubungan itu pertubuhan-pertubuhan masyarakat madani dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dalam satu kenyataan merayu agar kerajaan memberi pelepasan kepada mereka untuk mengedar makanan dan keperluan asas kepada golongan memerlukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PRK) berkuatkuasa.

“Kami sedar betapa seriusnya situasi yang kini melanda negara, dan kami memberi komitmen sepenuhnya untuk membantu kerajaan untuk bersama-sama melawan Covid-19 dan menghentikan penyebaran virus ini.

“Pada masa yang sama, mungkin wujud kekurangan kesedaran terhadap berapa banyak komuniti dan golongan berisiko yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakkan (MCO), dan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan barangan keperluan asas termasuk makanan.

“Golongan-golongan yang terkesan termasuk golongan B40, golongan miskin di bandar dan luar bandar, rakyat yang telah hilang punca pendapatan akibat MCO, golongan tua, golongan yang tidak boleh ke luar rumah, orang sakit, anak yatim, orang asli, pekerja asing, pelarian, dan ramai lagi,” kata kenyataan yang dibuat bersama 47 NGO itu.