Malaysia Dateline

Di mana amaran banjir, di mana menterinya

Perkara paling utama yang akan membantu pengesanan risiko banjir ialah sistem ramalan dan amaran awal banjir yang dikendalikan oleh Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), kata Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Menurutnya, amaran banjir yang dikeluarkan oleh PRABN akan amat membantu semua agensi dalam melaksanakan persiapan dan persediaan kecemasan menjelang kejadian banjir yang bermula di Selangor dan Pahang pada 18 Disember lalu.

“… saya ingin bertanya adakah terdapat sebarang Amaran Banjir yang dikeluarkan oleh PRABN untuk agensi kerajaan dan rakyat sebelum bermulanya banjir di Selangor dan Pahang pada 18 Disember 2021?

“Jika terdapat amaran banjir dikeluarkan PRABN, kenapakah tiada langkah susulan lebih awal dilaksanakan oleh agensi-agensi terlibat?

“Manakala jika tidak ada sebarang amaran banjir dikeluarkan, dimanakah silap dan lemahnya sistem ramalan dan amaran banjir yang dikendalikan PRABN yang sudah tentu dibangunkan dengan peruntukan yang besar yang diluluskan oleh Parlimen?

“Kenapa di dalam laman web rasmi Public Info Banjir JPS di bahagian yang berkaitan Amaran Banjir, dinyatakan  “Tiada kejadian banjir diramalkan berlaku”?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, PRABN adalah agensi yang berada di bawah pemantauan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Kementerian Alam Sekitar dan Air.

Sehubungan itu, Salahuddin menyeru supaya Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang difahamkan berada di luar negara pada waktu kritikal ini supaya segera tampil memberikan penjelasan memandangkan PRABN berada di bawah bidang kuasa kementerian beliau.

Salahuddin berkata, di dalam laman web Public Info Banjir JPS, dinyatakan dengan jelas bahawa objektif PRABN ialah “Memberi perkhidmatan cemerlang dalam pembangunan dan pengoperasian sistem ramalan dan amaran banjir sebagai persediaan menghadapi banjir bagi peningkatan kualiti hidup, keselamatan nyawa dan harta benda”.

Jelasnya, laman web yang sama juga menyatakan antara fungsi utama PRABN ialah “Memastikan operasi ramalan dan amaran banjir yang berkesan selaras dengan keperluan agensi berkaitan bencana banjir dan orang awam dalam penerimaan amaran banjir.”

“Kita semua maklum pada masa ini juga terdapat ramalan dan tinjauan taburan hujan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang boleh memberi indikasi tentang kemungkinan berlakunya banjir.

“Berdasarkan kepada ramalan taburan hujan jangka panjang yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi inilah yang menyebabkan Unit Pengurusan Bencana Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan makluman rasmi pada 17 November 2021 bagi persediaan awal menghadapi musim monsun timur laut,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden AMANAH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Operasi Bencana Alam berkata, ramai membangkitkan tentang tindakan persediaan menghadapi bencana yang sepatutnya dikoordinasikan oleh pelbagai pihak.

Pihak terbabit, jelasnya, seperti NADMA, Majlis Keselamatan Negara, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, PDRM, Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri-negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya akui terdapat beberapa aspek dalam konteks kesiapsiagaan kita menghadapi bencana banjir yang perlu diperbaiki segera,” tambahnya lagi.