Di mana Islamnya Pas, soal Husam

Di mana Islamnya Pas, soal Husam

Dalam Dialog Bersama Husam Musa malam tadi, pemimpin Pas yang lantang mengkritik kepimpinan parti itu mempersoalkan sejauh mana Pas masih mengamalkan nilai Islam.

“Saya nak tanya pada orang-orang Pas di mana Islamnya Pas selepas Tuan Guru Nik Aziz meninggal dunia? Tolong senaraikan termasuk Mursyidul Am Pas (Datuk Dr Haron Din),” soalnya di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH).

Menyenaraikan beberapa nama pemimpin Pas Pusat seperti Pengerusi Jawatankuasa Disiplin dan Tatatertib, Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok dan Ketua Penerangan, Nasrudin Hassan; beliau memberitahu dirinya menerima serangan peribadi selepas menegur kepimpinan kerajaan Pas negeri Kelantan.

“Saya diserang macam-macam, lari duit balak. Boleh orang-orang kita (Pas) ngaji agama begitu. Saya berdiri tegak lawan pembulian.

“Saya buat lawatan, balak telah dicuri. Lima bukit sudah digondol,” dedahnya selain turut menyebut nama Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali serta Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Ustaz Dr Riduan Mohd Nor.

Pada masa sama, Husam juga menyelar Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berhubung penyerahan surat pemecatannya.

“Saya minta Datuk Taki hantarlah surat pemecatan itu. Saya nak bagi pada anak cucu. Saya nak beritahu Datuk Taki, tulislah elok-elok. Presiden Pas boleh buanglah Setiausaha Agung macam itu,” bidasnya sambil memberitahu berlaku kesilapan nama ayah pada sepucuk surat yang telah diterimanya daripada Pas.

Menjawab soalan moderator yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar tentang tempoh yang terlalu lambat untuk Husam membuat keputusan memilih mana-mana parti pembangkang, beliau mengakui dirinya lemah.

“Saya tidak kuat. Saudara (moderator) boleh provok, (tapi) tak boleh ubah saya. Mungkin saya salah tapi apa yang penting, saya mendapat gambaran membaca apa yang ada dalam radar. Ada sebab-sebab tersendiri. Setakat ini saya boleh berpuas hati.

“Untuk maju ke depan tidak semestinya isytihar masuk parti,” tambah bekas Naib Presiden Pas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu dalam dialog lebih dua jam anjuran Free Public Forum Malaysia (FPF).

Untuk rekod, Dr Sanusi pada 6 Mei iaitu sehari sebelum pembuangan undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak mengesahkan Husam dipecat daripada menjadi ahli Pas berkuat kuasa 23 April lalu.

Menurutnya lagi, Husam didapati telah melakukan tindakan dan perbuatan yang bersalahan dengan Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f), Perlembagaan Pas.

Hisomuddin Bakar (kiri) menjadi moderator dalam dialog bersama Husam Musa. Gambar Malaysia Dateline oleh Wan Zahari Salleh.

TAGS