Malaysia Dateline

Raja Petra Kamaruddin

Di mana kredibiliti SPRM percaya blog penulis yang tidak hormat undang-undang Malaysia?

Suasana politik negara sejak merdeka tidak pernah sunyi daripada pelbagai konflik dan krisis yang merencatkan tadbir urus dan pembangunan negara.

Kejadian 13 Mei 1969 yang melibatkan rusuhan kaum, darurat di Kelantan pada tahun 1977, gerakan reformasi pada tahun 1988 dan Langkah Sheraton pada tahun 2020 semuanya bertitik tolak daripada konflik politik yang berlaku.

Sepatutnya, Malaysia sudah boleh bergerak lebih maju untuk kemakmuran ekonomi dan kehidupan rakyat jika penguasa-penguasa politik bersungguh meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi kepentingan politik peribadi mahupun parti yang dianuti.

Untuk terus berkuasa, penguasa-penguasa politik ini mengikut teori politik Machiavelli yang meletakkan kuasa segala-galanya sehinggakan penipuan dan penindasan menjadi halal.

Krisis-krisis politik yang berlaku ini telah merosakkan sistem pentadbiran negara kerana kerakusan kuasa membuatkan berlaku pencabulan dan campurtangan dalam banyak institusi demokrasi negara.

Institusi seperti Polis, SPRM dan SPR yang sepatutnya bertindak bebas dilihat terikat dengan kehendak pihak-pihak tertentu.

Sistem kehakiman juga tidak dilihat bebas sehinggakan berlakunya krisis pemecatan mantan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas pada tahun 1988.

Di mana kredibiliti SPRM percaya blog penulis yang tidak hormat undang-undang Malaysia?
Kredibiliti Hakim Nazlan seharusnya dipelihara supaya keyakinan umum kepada sistem kehakiman tidak terjejas.

Sistem kehakiman seharusnya bebas untuk menjadi semak imbang tindakan kerajaan dan hak rakyat serta badan berotoriti menentusahkan apa-apa undang-undang yang diluluskan Parlimen.

Inilah yang dinamakan pemisahan kuasa 3 badan utama struktur pentadbiran negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Mutakhir ini badan kehakiman telah mula dilihat bebas dan berintegriti apabila membuat keputusan-keputusan yang wajar dan adil berdasarkan fakta, keterangan dan undang-undang.

Banyak kes melibatkan hak-hak sivil berjaya di mahkamah. Kes-kes jenayah berprofil tinggi juga telah dihukum.
Kenyataan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 14 Januari 2022 lalu yang menegaskan bahawa tiada campurtangan dalam kes-kes mahkamah yang mana keputusan dibuat berdasarkan bukti dan undang-undang telah memulihkan keyakinan umum terhadap badan kehakiman.

Justeru, tindakan sesetengah pihak yang cuba mencalar kredibiliti hakim-hakim dengan dakwaan tidak berasas dan liar adalah tindakan bagi menjatuhkan kredibiliti kehakiman yang semakin bebas dan berintegriti.

Terkini, tindakan siasatan yang dibuat oleh SPRM ke atas Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah sesuatu yang tidak wajar sedangkan Hakim Nazlan sendiri telah membuat laporan polis terhadap tulisan yang disiarkan dalam portal Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin yang menjejaskan kredibiliti beliau.

Di manakah kredibiliti SPRM yang percaya kepada maklumat dalam sesuatu blog atau media sosial sedangkan penulis tersebut sendiri seorang yang tidak hormat pada undang-undang Malaysia.

Raja Petra tidak mengendahkan apa-apa saman fitnah yang difailkan terhadap dia dan memilih untuk terus tinggal di luar negara.

Umum juga mengetahui bahawa Hakim Nazlan telah memutuskan Dato’ Sri Najib Razak bersalah berhubung dengan kes SRC International yang mempunyai kaitan rapat dengan 1MDB.

Najib Razak juga telah gagal dalam rayuan di Mahkamah Rayuan. Malah, Mahkamah Rayuan telah menyifatkan kes itu sebagai satu Kesipuan Negara (National Embarassment).

Kini, Najib Razak sedang dalam proses rayuan ke Mahkamah Persekutuan. Sungguhpun begitu, sudah pasti keputusan yang dibuat Hakim Nazlan dan panel 3 hakim Mahkamah Rayuan dibuat berdasarkan keterangan yang jelas yang turut menolak versi derma Putera Arab.

Di samping itu, perbicaraan bekas pegawai Goldman Sachs Roger Ng di Amerika Syarikat mengesahkan Najib Razak telah menerima RM3.2 bilion (AS$756 juta) wang 1MDB.

Oleh itu, kredibiliti Hakim Nazlan seharusnya dipelihara supaya keyakinan umum kepada sistem kehakiman tidak terjejas.

Jika ada apa-apa salahlaku, biarlah Perlembagaan mengambil tempatnya selaku undang-undang tertinggi dan bukannya badan statutori yang mana dari sudut strukturnya lebih rendah daripada Perlembagaan.

Perkara 125 (3) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan tentang penubuhan tribunal terhadap hakim-hakim.

Peruntukan ini dibuat khusus bagi memelihara kesucian badan kehakiman. Seharusnya, SPRM menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan ini supaya keluhuran undang-undang terus tertegak. SPRM perlu bertindak sebagai badan yang bebas dan adil.

Oleh itu, sebagai langkah awal pemulihan tadbir urus negara yang rosak teruk akibat Langkah Sheraton, badan kehakiman mesti diberikan kebebasan untuk menjalankan fungsinya tanpa takut dan memihak (without fear and favour).

Fasa endemik ini fasa penting pemulihan ekonomi dan keyakinan pelabur banyak bergantung kepada keyakinan kepada sistem tadbir urus negara terutama badan kehakiman.

Sistem kehakiman yang baik dan berintegriti melambangkan asas kekuatan sesebuah negara. Mengambil kata-kata Lord Denning “The integrity of our system of justice and upholding it is one of the foundations of the society”.