Di mana MB setiap kali rakyat ditimpa musibah?

Oleh NASUHA RAHMAN

Banjir buruk telah melanda beberapa daerah di Negeri Terengganu dengan ribuan penduduk dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri termasuk ibu negeri Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, dan bandar Kemaman sebuah daerah yang menjadi pusat pengeluaran minyak dan gas negeri.

Beberapa bulan lalu, apabila bekalan air utama terputus di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus melibatkan 100,000 penduduk terjejas, Menteri Besar Terengganu hanya muncul melawat tapak masalah selepas hampir seminggu kerana berada di Kuala Lumpur.

Kali ini apabila banjir besar melanda Negeri Terengganu, sekali lagi rakyat mengadu Menteri Besar, Barisan EXCO dan wakil rakyat tidak kelihatan.

Di Kuala Terengganu sendiri, apabila ramai rakyat di kejutkan banjir terjadi sejak dari waktu lewat petang hingga malam, penduduk bersunggut tiada wakil rakyat kelihatan turun padang. Rungutan ini turut dizahirkan oleh ahli dan penyokong Pas.

Seperti “kebiasaan kerajaan Terengganu sekarang”, dipercayai Menteri Besar dan barisan Exco mengadakan mesyuarat mingguan di Kuala Lumpur.

Maklumat kami mendapati mesyuarat Exco kerajaan negeri minggu ini tidak di adakan di Negeri Terengganu sebagaimana lazimnya.

Adakah dalam waktu banjir buruk ini Menteri Besar mengadakan mesyuarat Excol di Kuala Lumpur juga?

Di mana MB setiap kali rakyat ditimpa musibah?
Terengganu banjir, hampir 11,000 penduduk dipindahkan ke PPS

Mesyuarat Exco di Kuala Lumpur telah menjadi “kebiasaan” oleh Menteri Besar Samsuri Mokhtar di mana rakyat menyoalkan adakah Terengganu mempunyai kerajaan di dalam negeri sendiri ?

Waktu rakyat kesusahan, kos tinggi megadakan mesyuarat Exco di Kuala Lumpur yang melibatkan sekitar 50 pegawai yang terdiri dari 15 ahli Exco, dengan 30 orang pegawai dan beberapa orang urus setia mesyuarat lagi, pemandu pemandu kereta rasmi, dan kos penerbangan serta penginapan, ia melibatkan kos sekitar antara RM50,000 hingga RM70,000 setiap kali ia di adakan di Kuala Lumpur!

Inilah kemewahan dan pembaziran kerajaan kayangan Pas Terengganu walaupun semasa banjir besar melanda negeri.

Menteri Besar dikatakan membiarkan kerajaan beroperasi secara “remote control” membiarkan Exco bersendirian sementara beliau “bermaustautin” di Kuala Lumpur.

Kalau mesyuarat Exco sering diadakan di Kuala Lumpur, adakah Menteri Besar mengadap kebawah Duli Tuanku Sultan untuk setiap mesyuarat atau adakah ini tidak di lalukan lagi ? Rakyat ingin tahu mengapa jika ini tidak berlaku ?

Pihak Media tidak lagi hadir ke WISMA Negeri selepas mesyuarat Exco seperti biasa lebih setahun kerana Menteri Besar tidak mahu menjawab soalan pihak media . Bagaimana rakyat hendak dapat laporan mesyuarat Exco ? Kerajaan bisu ?

Kerajaan Pas Terengganu hari ini sangat luar biasa memecahi berbagai adat dan tradisi yang merugikan rakyat.

Sebagai jurutera aeronautika , Menteri Besar patut mengetahui walau bagaimana canggihnya pesawat penerbangan ciptaan manusia di awangan angkasa raya, ianya mesti juga turun ke bumi menyembah bumi yang nyata ini.

Rakyat biasa Terengganu sangat mengharapkan keprihatinan dari Menteri Besar dan wakil rakyat mereka dalam keadaan mereka ditimpa ujian dan musibah.

Setiap kali bekalan air terputus atau air bah melanda negeri, Menteri Besar dan para wakil rakyat tidak kelihatan turun kebawah menjenguk rakyat.

Adakah ini cara mentadbir negeri Terengganu Darul Iman? atau sebenarnya Terengganu Darul Kayangan ?