Esok adalah Hari Raya Korban. Tarikh 10 Zulhijjah ini merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam.
Ibadah korban yang umat Islam raikan pada setiap tahun adalah bagi memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. setelah diperintahkan dan dalam menjalankan ketaatannya terhadap Allah S.WT.
Tidak dinafikan ramai telah mengetahui sejarah korban Nabi Ibrahim ini dan adalah dirasakan tidak perlulah untuk diulangi lagi.
Rentetan dari peristiwa ini, ketika perayaan Aidiladha maka umat Islam menyembelih binatang-binatang korban lalu mengagihkan kepada golongan yang kurang bernasib baik. Ini adalah simbolik kepada mengingati peristiwa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.
Tetapi di sebalik peristiwa itu yang tidak sahaja tertumpu kepada ibadah korban, Haji dan puasanya, umat Islam harus juga fahami dan mengerti bahawa perjalanan hidup Nabi Ibrahim as tidaklah mudah dan tertumpu kepada ibadah korban yang praktikal semata.
Beliau harus menghadapi Raja Namrud yang terkenal kejam serta harus berhadapan dengan ayahnya sendiri sang pembuat patung berhala. Kisah Nabi Ibrahim as dengan ayahnya ini lebih jelasnya tertulis di dalam Al-Qur’an Surah Asy-Syuara ayat 69-86.
Nabi Ibrahim as dikenal sebagai bapa para nabi yang menyerukan kepada nilai-nilai Ketuhanan Yang Maha Esa. Pesoalan saya di manakah pedang yang bertujuan menyembelih Nabi Ismail itu?
Selama Rasulullah SAW masih hidup, beliau mempunyai sejumlah pedang pusaka. Pedang-pedang tersebut pernah digunakan saat berperang.
Dalam buku Syamail Muhammad SAW karya Imam at-Tirmidzi dijelaskan, terdapat sembilan jenis pedang Rasulullah yang digunakan untuk menegakkan ajaran tauhid.
Adakah pedang Nabi Ibrahim itu diwarisi dan disimpan di mana-mana muzium seperti pedang Rasulullah saw dan sahabat-sahabat baginda saw?
Pedang Nabi Ibrahim ini adalah unik kerana ia adalah pedang yang digunakan untuk perlaksanaan episod penyembelihan seorang ayah ke atas anaknya, pengorbanan anaknya Ismail a.s tanpa ragu untuk melaksanakan perintah Allah swt walaupun dihasuti syaitan untuk menimbulkan keraguan supaya tidak melakukannya.
Apa yang uniknya pedang yang tajam tetiba mejadi tumpul apabila diletakkan ke leher Nabi Ismail tetapi dapat membelah dua batu yang keras dan menyembelih kibash sehingga terpancut darahnya.
Pedang Nabi Ibrahim itu adalah simbolik kepada perlawanan beliau menentang tuhan-tuhan manusia dan kebendaan. Di manakah pedang Nabi Ibrahim itu?. Pedang yang pernah menentang berhala-hala yang dihancurkan, yang menentang kezaliman, kesyirikan dan penyembahan selain Allah.
Tapi kenyataannya kita berhadapan dengan banyak tuhan-tuhan dan pemujaan-pemujaan yang terus tumbuh menentang Tuhan yang Maha Esa. Pedang Nabi Ibrahim telah lama ditinggalkan dalam penentangan melawan berhala Azar dan Namrud.
Sekali bersama mengulangi tabir pada hari raya korban ini, di manakah pedang Nabi Ibrahim yang menyembelih anaknya Ismail itu, yang berkorban demi perintah Allah. Banyaknya pemujaan dan tuhan-tuhan baharu tumbuh menguasai hati dan fikiran dan menyempitkan keimanan kepada perkara-perkara amalan ritual yang telah hilang maknanya yang sebenar.
Bermaharalelanya tuhan nafsu dan pemujaaan terhadap wang, kebendaan dan kuasa yang bersemarak menguasai jiwa dan fikiran.
Sekali lagi di manakah pedang Nabi Ibrahim ini dalam perjuangan membela warga Palestin di Tebing Barat dan Gaza?
Walaupun Umat Islam mengingati pedang Nabi Ibrahim dengan menyembelih lembu dan kambing tetapi mereka telah melupakan pedang Nabi Ibrahim yang menentang kezaliman, pemujaan dan penghambaan kepada tuhan-tuhan palsu dan munafik.
Penularan Covid-19 dan wabak politik yang melanda negara kita sepatutnya telah membuka mata umat Islam agar menggunakan pedang Nabi Ibrahim sebagai simbolik kepada pemikiran kritis dan tajam, menentang kezaliman dan pemujaan kuasa dan menentang rasuah kuasa, politik dan kekayaan yang menular di negara ini.
Selamat menyambut Hari Raya Aidil-Adha!
————–
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universitei Selangor (Unisel).