Malaysia Dateline

‘Di negara orang bakat diiktiraf, di negara sendiri jadi pelakon suam kuku je’

Tepat hari ini, sejarah tercipta apabila anak kelahiran Ipoh, Tan Sri Michelle Yeoh berjaya merangkul anugerah antarabangsa, Golden Globe Awards.

Perlakon yang berjaya melebarkan sayapnya di Hollywood itu menjadi rakyat Malaysia yang pertama memenangi trofi tersebut menerusi filem Everything, Everywhere All at Once.

Mendapat anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem Muzikal, kemenangan Michelle ini disambut baik apabila ramai warga memuji dan turut berbangga dengan penghargaan tersebut.

Namun, kejayaan beliau ini dilihat hanya boleh digapai sekiranya pelakon negara kita membuat keputusan untuk berhijrah ke luar negara.

Warganet di laman Twitter, Alif Idham berkata, sekiranya Michelle atau nama sebenarnya Michelle Yeoh Choo Kheng ini tidak ke luar negara pasti pencapaian ini mustahil untuk digapai.

“Michelle Yeoh ini kau ingat satu sahaja, sekiranya dia tidak keluar Malaysia, mungkin akan jadi pelakon suam kuku sahaja.

‘’Sebab itu beliau belajar dunia lakonan di Hong Kong. Negara yang boleh memberi peluang buatnya untuk kembangkan bakat dalam bidang lakonan,’’ kongsi Alif Idham

Pendapat ini turut dikongsi oleh seorang Pempengaruh media sosial yang juga dikenali sebagai pelakon tambahan industri tanah air.

‘’Dengan kemenangan Michelle Yeoh baru-baru ini di Golden Globes, kita dengan bangganya boleh berkata, ya, Malaysia mempunyai bakat yang mampu mencapai kejayaan setinggi itu,’’.

Tetapi kita perlu menilai kembali dan bertanya diri kita sendiri, apa yang perlu kita lakukan untuk meningkatkan industri kita.

Kerana, jika beliau tidak memutuskan untuk pergi, beliau tidak akan berada di sana (memenangi anugerah).

Acara Golden Globe Awards ke-80 ini berlansung di Beverly Hilton, Beverly Hills, California, Amerika Syarikat.