Malaysia Dateline

Di sebalik “I see you” Lisa Kamal di Wisconsin

Terpapar di portal sensasi bermodalkan petikan dan imej mudah tular satu berita tentang Lisa Kamal yang terpilih menjadi wakil graduan University of Wisconsin-Madison, Amerika Syarikat (AS).

Imej Lisa lengkap berjubah istiadat konvekesyen, bersama senyuman dengan gaya menunjukkan jari kepada hadirin; penuh cool sekali.

Tidak cukup dengan itu, portal begini juga rata-ratanya menyertakan petikan “I see you, you made it!” dan ayat seperti “Pelajar Malaysia gemparkan Amerika!”. Hebat, bukan?

Tambahan lagi, mendengar sedikit pengenalan tentang Lisa, semua pencapaiannya amat membanggakan. Antaranya berjaya mendapat geran penyelidikan prasiswazah terbaik universiti tersebut dan diiktiraf antara pelajar berpotensi dan mendapat anugerah oleh Persatuan Geologi Amerika.

Lisa juga aktif dalam seni persembahan serta ligat dalam Persatuan Pelajar Malaysia dengan membantu mengembalikan Malaysian Night, sebuah sambutan kebudayaan tahunan Malaysia di sana.

Hanya menyebutkan perkara-perkara di atas tanpa melengkapkan lagi senarai pencapaian dan keperibadiannya pun sudah cukup untuk kita menyimpulkan bahawa Lisa bukan sahaja antara kelahiran Malaysia yang terbaik, malah mungkin antara insan yang sempurna segala-galanya. Namun, begitukah hakikatnya?

Setelah mendengar ucapan Lisa sendiri secara keseluruhan, hakikatnya bermula di universiti itu pada tahun pertamanya dengan penuh optimis akan pelajaran di universiti terkemuka tersebut dan akan masa depannya yang menggunung, Lisa menganggap kesukaran memahami pelajaran sains asas kompleks seperti Kimia dan Kalkulus masih boleh diterima kerana ketika itu masih peringkat awal dan beliau percaya apabila tibanya tahun akhir nanti, pasti beliau akan mampu mahir segala-galanya.

Namun, langit tidak selalunya cerah buat seorang insan “sempurna” ini. Ombak dan badai datang melanda. Tekanan pelajaran, harapan individu dan pemegang taruh yang menggunung terhadapnya, dan berjauhan dengan keluarga antara lainnya diakui beliau merupakan cabaran yang bukan kepalang banyak dan hebatnya.

Tekanan dan cabaran yang dihadapinya sungguh dahsyat sehingga Lisa mengakui pada satu ketika dia hilang keyakinan diri dan hilang minat dan semangat terhadap pelajaran berbanding pada peringkat awal pengajian sehingga beliau menderita burnout dan berdasarkan kata-katanya sendiri, beliau tidak mahu berbuat apa-apa pun melainkan tidur sahaja.

Setelah bertarung di lautan penuh ombak dan badai yang tidak mengenal belas kasihan, akhirnya beliau menegaskan kepada semua hadirin bahawa apa yang penting, semua telah berjaya menamatkan babak terakhir dalam fasa penuh cabaran ini, tanpa mengira apa-apa cara yang telah dipraktikkan sama ada susah atau senang.

Lisa mengatakan dan saya terjemahkan semula dengan frasa lain untuk pemahaman konteksnya:

“Kamu semua telah memilih untuk bangun setiap hari dan memberi peluang kepada diri sendiri untuk memulakan semula hari anda, setiap hari. Jika kamu seorang yang berjaya bergraduasi hasil usaha kamu menghabiskan banyak masa di perpustakaan pada siang hari dan di kedai kopi pada malamnya, percayalah, kamu telah berjaya, tahniah!

“Jika kamu berjaya menamatkan pengajian kamu dengan menyiapkan tugasan pengajian hanya semata-mata dengan berada dalam bilik, duduk depan laptop sahaja, percayalah, kamu juga telah berjaya, tahniah!

“Jika kamu pula seseorang yang melakukan salah satu antaranya atau kedua-duanya, kamu juga telah berjaya, tahniah buat kamu semua!

“Tak kisahlah jika kamu berjaya hari ini hanya dengan memenuhi kriteria minimum, saya bangga akan kamu semua kerana ijazah yang akan disampaikan hari ini melambangkan pengalaman manusiawi kendiri yang bermakna dan keringat pengorbanan yang telah dicurahkan setiap kali kamu memilih untuk bermula semula setiap hari. Saya amat bangga akan kamu semua!”

Sebelum menamatkan ucapannya, Lisa sempat mengucapkan penghargaan ke hadrat Ilahi dan buat pihak yang telah banyak membantu dan menyokongnya sepanjang pengajian termasuk ibu bapanya, rakan-rakan, mentor dan kaunselor kesihatan mental di Pusat Kesihatan universiti tersebut.

Pencapaian ‘cukup makan’

Dalam psikologi dan kesihatan mental, mengikut teori, secara amnya tekanan merupakan sesuatu yang positif untuk menjadi pemangkin mencapai sesuatu hasil atau pencapaian yang diinginkan.

Namun, apabila sesuatu tekanan telah mencapai tahap melampau atau berpanjangan, risiko untuk mendapat tindak balas tekanan yang negatif seperti burnout; suatu sindrom yang termasuk dalam masalah pekerjaan dalam Pengelasan Penyakit Antarabangsa 11 (ICD-11) terbitan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melibatkan keletihan melampau, sikap negatif terhadap pekerjaan, dan penurunan prestasi kerja akibat tekanan tempat kerja yang kronik yang gagal diuruskan.

Walaupun terdapat dalam “senarai penyakit” yang diterbitkan oleh WHO, hakikatnya sindrom burnout merupakan suatu masalah pekerjaan yang makin lazim dalam masyarakat hari ini dan boleh menyerang sesiapa sahaja, termasuklah seorang insan yang “sempurna” dan “hebat” seperti Lisa Kamal. Walaupun bukan merupakan satu masalah perubatan, sindrom tersebut atau tekanan yang berpanjangan itu sendiri boleh menjurus pada masalah kesihatan mental yang lebih serius seperti kemurungan major (major depression) atau kecelaruan keresahan (anxiety disorder).

Malang sekali, walaupun pemodenan dan perindustrian banyak memudahkan kehidupan manusia, tekanan akibat terpaksa mencapai tahap tertinggi dalam pelajaran dan pekerjaan semakin memuncak.

Bertepatan dengan kerunsingan terhadap masalah ini, konteks keseluruhan ucapan Lisa Kamal layak mendapat pujian atas penghargaannya buat semua individu yang telah berjaya tidak kira sama ada cemerlang atau seadanya.

Beliau berjaya memberi inspirasi bukan dengan kejayaan beliau yang melangit tingginya semata-mata tetapi dengan menekankan kepentingan menguruskan jangkaan (expectation) dalam pencapaian hidup dan menghargai pencapaian yang sedia ada.

Malah, beliau tidak meletakkan piawaian kejayaan orang lain sama seperti dirinya kerana beliau percaya, setiap kejayaan, kecil atau besar merupakan hasil pengalaman pahit dan manis dan pengorbanan peribadi yang tidak boleh dibandingkan dengan orang lain.

Tesis penting yang perlu disedari berdasarkan ucapannya ialah kepentingan pengurusan jangkaan pencapaian peribadi (personal expectation) demi kesejahteraan kesihatan mental, dikuatkan lagi dengan penghargaannya terhadap insan di sekelilingnya termasuk kaunselor kesihatan mental.

Mungkin ramai hanya mahu memandang pencapaian hebat Lisa Kamal tetapi beliau sendiri dengan penuh rendah diri dan pada masa yang sama penuh bangga menyatakan bahawa kejayaan itu subjektif dan kejayaan yang sedikit juga suatu yang patut membanggakan.

Malah dalam aspek kesihatan fizikal dan mental secara klinikal pun, segala bentuk kejayaan, yang kecil sekali pun walaupun kata orang lain “cukup makan” sahaja, hakikatnya tetap suatu kejayaan yang bukan sahaja patut dirai malah boleh menjadi satu penanda aras klinikal yang absah bagi menentukan pemulihan dan penyembuhan satu-satu masalah kesihatan.

Contohnya, sebagaimana penurunan sedikit berat badan dan penurunan paras gula dalam darah yang sedang-sedang dan cukup makan dalam paras normal sudah cukup menandakan peningkatan pencapaian pesakit diabetes, begitu juga terdapat penanda aras pencapaian pesakit mental yang kronik.

Mungkin ramai yang tidak tahu, skizofrenia, atau yang orang kita suka ketawakan “orang gila tepi jalan, cakap seorang diri, cakap tak berbutir dan pelik, dengar suara pelik” itu sebenarnya mempunyai masalah serius yang dipercayai disebabkan oleh pengecutan tisu otak dan mempunyai kaitan genetik yang kuat.

Akibatnya, mereka hilang fungsi pemikiran tinggi manusia yang penting seperti masalah pemikiran asas dan kognitif, masalah fokus, masalah pemahaman bahasa dan pengucapan, masalah emosi dan perlakuan, masalah persepsi realiti, dan kehilangan keupayaan berfungsi secara normal; sebagai contoh, fungsi melakukan aktiviti harian seperti aktiviti kebersihan diri dan tempat tinggal.

Maka, apabila mereka hilang kemampuan-kemampuan asas tersebut kerana kemungkinan besar kehilangan sebahagian tisu otak mereka secara harfiah, maka kita tidak boleh mengharap mereka akan kembali normal dalam tempoh masa yang pantas dan dengan pencapaian mengagumkan walaupun dengan bantuan ubat-ubatan moden.

Oleh itu, pemahaman kata kunci yang penting “pengembalian fungsi normal” sangat penting kerana faktor tersebut merupakan faktor minimum yang menjadi penanda aras perbaikan klinikal (clinical improvement).

Walaupun pencapaian seperti sudah tahu mandi semula, sudah boleh fokus dalam aktiviti, sudah kerja ikat air bungkus tepi, dan sudah boleh berkawan dengan jiran dilihat biasa-biasa sahaja dan hanya “pencapaian minimum”, hakikatnya berbanding masalah kesihatan mental yang kompleks yang merencatkan fungsi asasnya, “pencapaian minimum” dan “cukup makan” ini amat besar, bukan sahaja untuk pesakit dan keluarganya malah buat doktor dan pekerja kesihatan juga.

Malah, dengan pemahaman yang sama iaitu pengembalian fungsi normal meskipun “minimum” dan “cukup makan sahaja” terpakai sebagai suatu penanda aras peningkatan klinikal masalah psikiatri dan kesihatan mental lain.

Pesakit kemurungan major misalnya yang sudah kembali bekerja mengikut masa bekerja rasmi semata-mata hakikatnya telah bertambah baik daripada penyakitnya.

Kanak-kanak berumur 10 tahun dengan kekurangan upaya intelek (atau nama lamanya, “terencat akal”, yang penuh stigma) juga wajar dipuji jika telah mampu mengira duit sedikit sebanyak dan membaca buku tadika.

Semuanya atas prinsip yang sama, kita tidak boleh dengan semudah-mudahnya membandingkan cabaran masalah berlainan yang dihadapi individu berlainan.

Maka dengan itu amat penting untuk meletakkan jangkaan pencapaian dan tempoh masa yang realistik untuk individu berlainan.

Duta kesihatan mental

Lisa bukan sekadar seorang anak muda Malaysia yang perlu disanjung hanya kerana segala pencapaian akademik, sumbangan penghidupan budaya Malaysia di AS, pencapaian mewakili graduan untuk ucapan majlis konvokesyen di universiti terkemuka AS, dan kebolehannya memetik skrip teater muzikal Hamilton.

Bahkan, Lisa merupakan seorang duta atau adiwira kesihatan mental yang tersembunyi atau kurang/tidak tersanjung (unsung hero of mental health).

Walaupun menggunakan bahasa Inggeris yang sangat mudah difahami, mesej mempromosi kesihatan mental dan mesej penghargaannya buat semua merupakan suatu yang membanggakan.
Meskipun merupakan seorang pelajar bidang Geologi, pengetahuan dan sikapnya terhadap kesihatan mental amat positif, terbukti daripada mesej penting ucapannya dan penghargaannya yang spesifik buat kaunselornya.

Ya, berdasarkan portal-portal media sensasi dengan tajuk berita pancing pembaca, memang Lisa ada sebut “I see you, you made it!”.

Tetapi apa yang beliau mahu katakan ialah tanpa mengira dengan cara susah atau senang, gred bagus atau cukup makan sahaja, mereka semua telah berjaya dan layak mendapat ucapan tahniah.

Mengiktiraf pencapaian peribadi, meskipun “cukup makan” sahaja merupakan sumber ketenangan, asas keyakinan terhadap diri sendiri, dan membawa kepada kesejahteraan kesihatan mental.

Terima kasih Lisa, bukan sahaja atas pencapaian anda yang membanggakan malah juga atas mesej mempromosi penghargaan terhadap diri sendiri dan promosi kesihatan mental secara tidak langsung di persada dunia. Anda telah mengharumkan nama negara atas pencapaian dan prinsip hidup anda.

Lisa Kamal, you made it, I see you!

*Penulis ialah aktivis Belia Harmoni Cheras B.