Malaysia Dateline

Di sebalik isu kos ubah suai Seri Perdana

Perbalahan antara Muhyiddin Yassin dan Najib Razak mengenai isu ubah suai Seri Perdana boleh juga dilihat dari sudut persaingan antara Bersatu dengan Umno atau Perikatan Nasional (PN) dengan Barisan Nasional (BN). Sementara Pakatan Harapan (PH) menjadikan isu untuk menyerang kedua-dua, PN dan BN.

Dengan Muhyiddin telah menyatakan bahawa dalam minggu depan PN akan menyelesaikan soal pembahagian kerusi dalam kalangan anggotanya tanpa melibatkan BN, maka dapat dibayangkan bahawa dalam pilihan raya, pertandingan adalah dalam bentuk tiga penjuru: PH, PN dan BN.

Pilihan raya yang telah ditetapkan pada sekitar Julai 2022 seperti mana dinyatakan dalam memorandum persefahaman antara Perdana Menteri dan PH memudahkan semua pihak merancang untuknya.

Tetapi nampaknya Muhyiddin dan PN adalah pihak yang telah memikirkan mengenai persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lebih awal lagi, bukan baru-baru ini saja, malah sejak tahun 2020 lagi.

Sebaik saja kerajaan PN-BN ditubuhkan atas tumbangnya kerajaan PH melalui lompatan Ahli Parlimen, semua maklum bahawa mereka melakukannya tanpa mandat rakyat. Para pengundi memilih wakil rakyat bukan atas semata-mata diri mereka, tetapi juga parti dan pakatannya.

Orang mengundi lambang PKR dalam PRU 2018 adalah kerana mereka mengkehendaki kerajaan PH, dan menolak BN dan Pas.

Dengan kesedaran ini, tentulah PN mahu segera mendapatkan pengesahan sokongan daripada rakyat. Selagi tidak memperolehnya, maka kerajaan PN-BN akan sentiasa diutarakan sebagai kerajaan “pintu belakang” dan “tebuk atap.” Walaupun label itu boleh diketepikan saja tetapi tekanan daripadanya tetap ada.

Maka dari awal lagi perancangan dibuat untuk mengadakan PRU-15 secepat mungkin bagi mendapatkan mandat segar rakyat dan menyudutkan PH untuk sentiasa menjadi pembangkang. PN mahu menjadi pengganti BN untuk mendominasi politik negara.

Di sebalik seruan menghentikan berpolitik bagi menumpukan perhatian kepada pandemik Covid-19, satu persatu kerajaan negeri PH ditumbangkan dengan kemuncaknya adalah pilihan raya negeri Sabah.

Semua ini adalah persiapan menghadapi PRU-15. Orang yang faham cara Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin bekerja, mungkin boleh faham dengan perkembangan ini. Juga tular video percetakan kain rentang PN yang menunjukkan persiapan untuk pilihan raya.

Namun, kesan negatif daripada pilihan raya Sabah yang memburukkan keadaan pandemik melenyapkan sebarang rancangan PRU lebih awal. Kerajaan PN-BN tidak stabil. Keadaan ini amat malang bagi rakyat Malaysia yang sedang bergelut dengan virus Covid-19. Bukan saja tidak stabil tetapi Kabinetnya dilihat tidak kompeten dan meyakinkan.

Ketidakstabilan kerajaan PN-BN bukan semata-mata kerana ancaman dari PH tetapi lebih-lebih lagi ia sentiasa berada di bawah ugutan Umno. Bagi mengelak jatuhnya kerajaan PN-BN, Muhyiddin menawarkan satu pakej politik kepada PH dengan menetapkan bahawa PRU-15 akan diadakan sekitar Julai 2022. PH tolak pakej itu dan kerajaan PN-BN tumbang.

Namun begitu, ia digantikan dengan kerajaan BN-PN. Itulah sebabnya sebahagian rakyat menamakannya Kerajaan 69 mengambil sempena filem P.Ramlee, Keluarga 69. Tetapi kali ini PH menerima tawaran pakej politik yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, dengan tumpuan untuk menyelesaikan masalah pandemik dan ekonomi negara.

Dengan tidak memegang jawatan Perdana Menteri tetapi menjadi Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin mempunyai banyak masa dan ruang untuk persiapan dalam menghadapi PRU.

Pengalamannya yang luas mengetuai jentera pilihan raya BN pada tahun 2013 dan PH pada tahun 2018 memberi keyakinan padanya untuk membawa PN kepada kemenangan walaupun banyak kalangan Umno menganggap Bersatu sudah tersudut dan akan berkubur.

Kalau dahulu mungkin PN melihat suatu kerjasama dengan BN akan dapat menghalang PH tetapi kini kelihatannya Bersatu hanya akan berpakat dengan Pas dalam PRU itu. Mereka yakin BN tidak akan kembali kuat seperti dahulu, lebih-lebih lagi Umno bukannya bersatu padu.

Sebahagiannya masih cenderung pada Najib dan Zahid Hamidi. Sementara yang lain bersama dengan Ismail Sabri dan ada pula yang mengharapkan Mohamad Hasan akan memimpin Umno.

Kebanyakannya mengambil sikap tunggu dan lihat untuk memberi sokongan kepada mana yang lebih kuat. Pastinya penentuan calon Umno dalam PRU-15 menjadi faktor penting. Pihak yang akan menentukan calon ialah Zahid.

Nampaknya, banyak kalangan PN dan BN tidak bimbang terhadap PH. Bagi mereka, PH sukar untuk mendapat sokongan majoriti rakyat di Semenanjung apabila isu kaum dan agama dimainkan mereka. Umno, Bersatu dan Pas mampu jadi juara di atas soal kaum dan agama.

Kelebihan PH adalah pada soal integriti, demokrasi dan kompetensi. Tetapi orang Melayu umumnya tidak mempedulikan perkara itu. Dalam pada itu, parti-parti kecil, walaupun mempunyai tokoh besar tidak dipandang serius sama ada Pejuang atau Warisan.

Mereka juga tidak mengambil kira parti-parti bukan Melayu. Bagi mereka, parti bukan Melayu akan menyesuaikan diri apabila orang Melayu telah membuat keputusan untuk mendukung parti mana. Buat masa ini, PN ada Parti Gerakan, BN ada MCA dan PH ada DAP. Kini dipercayai umumnya orang Cina menyokong DAP.

Namun, kalau PKR gagal meraih undi Melayu, mereka akan terus menjadi kaum pembangkang. Jadi, kejayaan PH kelak bergantung pada perpecahan PN dan BN. Lagipun kemenangan PH pada tahun 2018 adalah atas perpecahan Umno.

Pada suatu masa dahulu, tahun 1993, Muhyiddin dan Najib berada dalam pasukan sama. Team Wawasan yang diketuai Anwar Ibrahim dianggotai oleh Najib, Muhammad Taib, Muhyiddin, Rahim Thamby Chik, Zahid dan Zaharah Sulaiman.

Lawan mereka ialah Ghafar Baba, Abdullah Ahmad Badawi dan Sanusi Junid. Nama Wawasan diambil daripada Wawasan 2020. Mahathir cenderung pada Anwar dan ini menyebabkan Ghafar kecewa. Pihak yang menentang BN pada masa itu ialah Tengku Razaleigh Hamzah, Lim Kit Siang, Fadzil Nor dan Syed Husin Ali.

Walaupun percaturan politik ini akan berterusan dalam kerangka cara berfikir Malaysia yang berpusat pada Melayu tetapi generasi sudah berganti. Banyak orang lama sudah tiada dan bersara. Mereka yang ada ini pun tidak lama. Dunia juga sedang berubah dengan proses demokrasi menghasilkan pelbagai corak baharu.

Anwar melalui PKR walaupun jauh daripada berjaya cuba menampilkan cara politik yang berlainan. Generasi baharu DAP juga mempunyai fikiran berbeza daripada pemimpin lama. Sementara AMANAH mengungkapkan sudut pembaharuan yang berbeza daripada cara politik parti lama yang pernah dianggotai oleh sebahagian daripada ahlinya.

Fikiran konservatif tetap wujud dalam masyarakat. Begitu juga mereka yang berasa dirinya progresif akan terus berusaha. Namun, kedua-dua pihak perlu toleran dan ada kalanya wajar berkompromi kerana mereka berkongsi negara. Sebarang perbalahan biarlah berbentuk sivil dalam kerangka demokrasi.

Namun, semua akan bersependapat jika melihat sesuatu nilai yang buruk iaitu pembaziran dan bermewah-mewah lebih-lebih lagi meluluskan perbelanjaan besar di kala negara menghadapi Covid-19.

Muhyiddin dan Najib boleh menyalahkan satu sama lain. Tetapi sejak tahun 1993, umum memahami cara ahli-ahli politik Umno memperoleh dana mereka. Penyokong Umno mungkin bersetuju.

Tetapi orang ramai terutama generasi baharu tentu membantahnya, lebih-lebih lagi apabila melihat serba kekurangan pada sebahagian bangunan kerajaan di seluruh negara, daripada sekolah dan hospital sampailah kepada balai polis, kuarters kerajaan dan mu-um.

Banyak lagi yang boleh diulas mengenai isu Seri Perdana ini. Tetapi adalah diharapkan ia menjadi cetusan kesedaran kepada rakyat supaya negara ini berubah perangai untuk menjadi lebih baik.