Beberapa tangkap layar memaparkan luahan hati anak seorang artis terkenal telah tular di platform media sosial X (Twitter) sejak semalam.
Menerusi tangkap layar berkenaan, individu yang tidak mendedahkan identitinya itu terpaksa menggunakan media sosial untuk membongkarkan ‘sisi gelap’ keluarganya.
Hal ini kerana, individu itu khuatir jika orang ramai tidak mempercayainya lantaran artis dipercayai bapanya dikenali peminat sebagai orang baik, lembut dan kelakar.
Walau bagaimanapun, selebriti tersebut sebenarnya seorang yang sangat baran dan sering melampiaskan kemarahannya di rumah dengan memukul ahli keluarga.
“Aku nak cerita sisi gelap keluarga. Aku anak artis. Dari kecil semua kenal dan tahu aku anak siapa. Ramai rasa benda itu macam privilage. Ya, kadang-kadang betul.
“Tapi kamu semua takkan pernah terfikir yang dia seorang kaki pukul. Di luar depan peminat, semua cakap dia baik, lembut dan kelakar. Tetapi dekat rumah? Hanya keluarga sahaja tahu baran dia macam mana.
“Kadang aku terfikir nak semua orang tahu perangai dia sebenar. Tetapi siapa sahaja nak percaya kalau dia dekat luar bawa watak personaliti TV (televisyen),” luahnya.
Dalam hantaran yang sama, individu berkenaan turut mengakui telah diseksa secara mental semenjak kecil sehingga menyebabkan dirinya trauma dengan perkahwinan.
Tidak mempunyai keberanian untuk mengadu berikutan imej bapanya sebagai ‘artis baik’, individu itu berkata perasaan takut telah sebati dalam kehidupan keluarganya.
“Banyak lagi benda yang kami sekeluarga lalui. Perasaan takut tak pernah jauh dari kehidupan seharian kami. Baran dia buatkan aku jadi tak mahu kahwin seumur hidup.
“Mental aku diseksa dari kecil. Sakit tau. Lagi sakit sebab tak boleh nak cerita dekat orang luar. Sebab dia ‘artis’ yang baik kan. Bullsh**lah. Semua itu lakonan semata-mata.” Katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna media sosial cuba untuk meneka siapakah selebriti terkenal yang dikenali ramai dengan imej baik dan kelakar.
Namun setakat ini, identiti selebriti tersebut masih menjadi misteri dan ‘anak artis’ yang memuat naik luahan hati itu belum mengiyakan atau menafikan tekaan netizen.
Baca juga: Selamba kongsi tip curang, akaun TikToker diserang netizen