Malaysia Dateline

‘Dia belum dapat tarbiyah dari MP Marang’ – PM Anwar sindir Hamzah isu qazaf

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan Ketua Pembangkang supaya mendapatkan tarbiyah daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai isu qazaf (tuduhan orang Islam berzina).

Menurutnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang memetik laporan didakwa dikeluarkan sebuah portal berita di Itali tidak wajar menggunakan hujah qazaf bagi menyerangnya di Dewan Rakyat semalam.

“Kita kena sabar, tidak semua kenyataan (laporan media) itu bertanggungjawab. Contohnya Ketua Pembangkang bekerja selama hampir 25 tahun, mencerca memfitnah, berkonspirasi, menyerang peribadi, menimbulkan fitnah dan diteruskan dengan cara lebih licik.

“Saya tidak akan mengulas perkara itu kerana tentunya dia (Hamzah) belum dapat tarbiyah oleh Ahli Parlimen Marang (Abdul Hadi) yang pernah menulis tentang qazaf.

“Saya syorkan buku itu dibaca oleh Ketua Pembangkang dan apabila baca al-Quran, terutama bagi kita yang tidak terdidik daripada sekolah agama atau sekolah Arab, bacalah dengan betul. Biar betul sedikit,” katanya bersandarkan bacaan surah Ali-Imran ayat 54.

Dalam hal berkaitan, kenyataan Hamzah turut dibidas Ketua Penerangan PKR, yang juga Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil.

Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan secara sinis menasihatkan Hamzah supaya berwaspada dengan penipuan.

“Hati-hati Hamzah nak ‘scam’. Rupa-rupanya orang Itali pun tak pernah dengar nama ‘Agenzia Nova’ ni!,” kata Fahmi.

Baca juga Keabsahan PM Anwar letak kompas pentabiran negara di landasan betul