Malaysia Dateline

‘Dia boleh bertanya secara baik, saya pun boleh jawab elok-elok’

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, individu yang merakam gambarnya di di pusat pameran dan jualan di Autocity Juru, Bukit Mertajam di Pulau Pinang pada 5 Jun lalu boleh sahaja bertanya kepadanya apa yang berlaku.

Ketua Pengarah Pilihanraya Pas Pusat tersebut berkata, dia sama sekali tidak memandu uji kereta jenis Ford Raptor itu sebaliknya penjual yang dikenali sebagai Ong yang berbuat demikian.

“Cumanya dia mungkin boleh bertanya secara baik mengenai apa yang berlaku pada waktu itu, dan saya pun boleh jawab elok-elok,” dipetik Utusan Online.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu berkata demikian kepada pemberita semalam selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Dewan Al-Farabi, Kompleks Pendidikan Negeri di Alor Setar.

Menceritakan kejadian yang berlaku kira-kira 6.30 petang itu, Sanusi dalam masa sama mengakui melihat ruang dalaman dan duduk di kerusi penumpang depan kereta tersebut.

Sebelum ini, Setiausaha Politiknya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin yang juga Naib Ketua Pemuda Pas Pusat berkata, Sanusi hanya “pi jenguk kereta, bukan pi nak beli”.

Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri turut mengaku melihat kereta varian lain bagi kenderaan yang sama tetapi menjelaskan tidak masuk ke ruang dalam kereta terbabit.

“Selepas itu, kami melihat pula varian lain bagi kenderaan yang sama tetapi kali ini saya tidak masuk ke dalam kenderaan.

“Cumanya apabila pintu kenderaan kedua dibuka, saya ternampak seseorang merakam gambar kami,” kata Sanusi lagi.

Polis telah merekodkan keterangan Sanusi pada 6 Jun lalu serta enam individu lain berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) di Autocity Juru, Seberang Perai Tengah (SPT) itu.

Individu yang diambil keterangan ialah dua pengadu termasuk seorang wanita yang merakam video di lokasi kejadian, dua staf syarikat jualan kereta, seorang pemandu serta pengiring kepada Sanusi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, empat individu tersebut hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT) manakala Sanusi bersama dua pembantunya di Alor Setar.

Untuk rekod, pemilik akaun Facebook (FB) yang juga wanita yang merakam video Sanusi didakwa melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP), Nini Siron dikatakan berdepan tekanan.

Wanita itu didapati menyaktifkan akaun Facebook miliknya termasuk memadamkan semua status, video dan gambar berkaitan.

Sebelum ini, wanita terbabit memuat naik video dan gambar lelaki mirip Sanusi bersama tiga lelaki di laman sosialnya selepas terserempak dengan mereka berdekatan kedai serbaneka di Autocity Juru.

Rakaman video itu juga memperlihatkan tindakan sekumpulan individu terbabit menaiki sebuah kereta pacuan empat roda berwarna biru untuk dipandu uji ketika negara sedang melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) atau PKP 3.0 penuh.