‘Dia kelentong kita, kaburi mata untuk pancing undi’

‘Dia kelentong kita, kaburi mata untuk pancing undi’

 

Bajet 2018 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dilihat sebagai mantera dan jampi untuk tujuan mengaburi mata rakyat dan menabur rasa simpati dan peduli kerajaan sedangkan ia hanya untuk memancing undi,kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk A Kadir Jasin.

Beliau berkata, dengan anggaran kerajaan untuk meningkatkan kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM43.8 bilion daripada RM41.5 bilion tahun ini, menunjukkan syarikat berkaitan kerajaan tidak dapat menampung perbelanjaan kerajaan.

“Selain GST ada cukai lain macam cukai pendapatan, cukai korporat, cukai import, cukai eksport, cukai setem, cukai jalan, tarif dan macam-macam lagi bayaran yang rakyat jelata kena bayar. Mati pun kena cukai juga dalam bentuk cukai harta peninggalan.

“Hanya sebahagian kecil saja hasil kerajaan datang daripada perniagaan yang dilakukan oleh Petronas, Khazanah Nasional Berhad dan 1MDB,” ujarnya dalam tulisan di blognya hari ini.

Beliau turut mengulas mengenai peruntukan Bajet 2018 sejumlah RM280.25bilion yang menyaksikan pertambahan peruntukan berbanding RM 260.9bilion pada tahun lalu.

Bagi tahun 2018, Najib menganggarkan hasil sebanyak RM239.9 bilion tapi kerajaan bercadang berbelanja sejumlah RM280.25 bilion.

Justeru kata A Kadir lagi, dalam bajet dibentangkan perdana menteri yang mencadangkan perbelajaan sejumlah RM234.25 bilion untuk pengurusan dan RM46 bilion untuk pembangunan, ujarnya lagi, menyebabkan perbelanjaan bagi tahun ini naik 7.5 peratus kerana Najib dakwanya, menggunakan duit pembayar cukai untuk pancing undi.

“Kerajaan kurang duit sebanyak RM40.35 bilion dalam Bajet 2018 kerana hasil berjumlah RM239.9 bilion tapi belanja RM280.25 bilion. Jadi kena hutang RM40 juta lebih.

“Najib kutip cukai daripada rakyat jelata kemudian guna duit itu untuk sogok rakyat jelata supaya undi BN. Dia kelentong kita. Dia kata kerajaan bagi duit kepada rakyat jelata.

“Bukan kerajaan bagi tapi kita sendiri yang bagi. Kita bayar GST dan macam-macam cukai lagi untuk tadbir dan bangunkan negara.

“Najib ambil duit itu untuk sogok kita supaya undi parti dia. Dia ingat kita bangang,” ujarnya.

1.5
OVERALL SCORE
1 user vote x 3.0
CATEGORIES