“Dia mungkin rasa dia ada kabel besar” – Tidak kompromi, Asyraf Wajdi akan ambil tindakan isu kantin MRSM

Oleh MAISARAH AISYA

Tular mengenai isu kebersihan membabitkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, malah menyalahkan harga makanan mahal untuk tidak menyediakan menu sepatutnya.

Disebabkan itu Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki akan mengambil tindakan terhadap pengusaha dewan selera tersebut.

Menerusi satu sidang media khas, Asyraf memaklumkan disebabkan ada keracunan maka isu ini tidak boleh dipandangn ringan lapor Harian Metro.

“Saya tahu dia (pengusaha dewan selera) mungkin rasa dia ada kabel besar, tetapi saya tak kira kabel sebesar mana sekalipun.

“Kalau membabitkan soal nyawa dan kesihatan pelajar, saya tidak akan berkompromi, saya akan ambil tindakan,” ujarnya seperti dipetik Harian Metro.

Bukan hanya culas dalam hal kebersihan, malah pengusahan dewan tersebut turut melanggar kontrak berkaitan penyediaan menu makanan pelajar.

Beliau turut mengakui wujud trend dalam kalangan kontraktor dilantik di semua 57 MRSM seluruh negara yang tidak menyediakan makanan seperti sepatutnya mengikut kontrak.

Ini dikatakan berlaku khususnya apabila tempoh kontrak mereka hampir tamat.

“Saya tidak gentar dengan sesiapa, kerana ini soal amanah. Dalam hal ini siapa pun boleh menggambarkan dia ada kabel yang besar setara mana sekalipun, itu kami tidak hairan.

“Saya tahu ada dua tiga lagi MRSM yang menghadapi perkara yang sama, mereka tahu siapa mereka,” katanya.

Lebih mengejutkan pengusaha dewan tersebut lepas tangan selepas insiden keracunan pada Oktober tahu lalu atas alasan dia menyerahkan kontrak kepada kontraktor kecil atau secara subkontrak.

“Perbuatan subkontrak itu melanggar kontrak. Kontrak pengusaha itu sepatutnya berakhir Disember ini.

“Jangan ingat kita tak boleh mengambil tindakan mahkamah kepada mereka, juga bon mereka lima peratus kita akan ambil, dalam konteks (kes) ini hampir RM200,000 kita boleh lupuskan,” katanya.

Jelasnya, dewan selera itu sudah diarahkan tutup dua minggu hari bermula hari ini hingga 20 September depan.

Baca juga: Awal bulan gaji tinggal RM550, suami isteri sesak tanggung komitmen dan hutang kereta dua biji