Dakwaan kes pukul kerabat Pahang: Dia rakyat beta, beri keadilan kepadanya sekarang – Tengku Hassanal

Oleh WAN SITI AMINAH

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sekali lagi menitahkan agar keadilan untuk seorang pekerja pembinaan yang didakwa diserang oleh kerabat diraja negeri itu segera ditegakkan.

Tengku Hassanal bertitah demikian untuk mengulas laporan media atas talian pada 17 Oktober lalu mengenai kekecewaan pekerja pembinaan terbabit berhubung tiada tindakan daripada pihak berkuasa walaupun kes itu mengundang perhatian ramai.

Pekerja pembinaan yang dikenali sebagai Alias Awang itu sebelum ini mendakwa diserang oleh sekumpulan individu termasuklah seorang kerabat Diraja Pahang di sebuah kandang kuda di Kuantan pada 6 Jun lalu.

Menerusi beberapa siri hantaran yang dimuat naik platform Instagram, baginda turut bertitah bahawa keadilan bukan sahaja perlu perlu dilaksanakan, namun perlaksanaannya juga haruslah boleh dilihat.

“Dia (Alias) adalah rakyat beta. Berikan keadilan kepadanya sekarang,” titah Tengku Hassanal di dalam perkongsian yang dimuat naik di akaun Instagram milik baginda pada Jumaat.

Titah baginda lagi, mereka yang memperjuangkan keadilan memang akan sentiasa menghadapi tentangan daripada pihak yang melakukan ketidakadilan namun kebenaran pasti akan menang.

“Akhirnya, mereka yang berdiri di pihak kebenaran akan sentiasa menang, manakala mereka yang berada di pihak yang salah akan jatuh.” Titah baginda dalam siri hantaran tersebut.

Terdahulu, Tengku Hassanal menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Abdulaziz menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan penuh secara segera, telus dan adil tanpa sebarang kompromi kepada mana-mana pihak.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan laporan media mengenai pendedahan Alias yang mendakwa mengalami kecederaan selepas diserang seorang kerabat diraja dan beberapa individu menggunakan senjata tajam dan pistol.

Pekerja pembinaan dan penyelenggaraan jalan yang berusia 44 tahun itu mengakui mulanya dihubungi oleh seorang individu dipercayai orang suruhan kepada anak kerabat diraja Pahang untuk bertemu dengannya.

Alias kemudian diserang oleh kira-kira 20 orang termasuklah anak individu bergelar Tengku di mana salah seorangnya telah menikam peha kanannya dengan menggunakan pisau.

Difahamkan, anak Tengku berkenaan juga dikatakan turut melepaskan tembakan ke arah kaki Alias namun tidak mengenai sasaran dalam kejadian yang berlaku pada 6 Jun lalu itu.

Serangan terhadap bapa kepada lapan orang anak itu dilaporkan dibuat susulan pertikaian berkaitan isu tanah yang berlaku di Rompin ekoran dirinya terlibat dalam pembinaan jalan di situ.

Laporan polis berhubung kejadian itu telah dibuat oleh Alias pada 8 Jun lalu iaitu dua hari selepas kejadian di Kuantan, Pahang selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Alias yang mengalami kecederaan di bahagian paha dan menerima beberapa jahitan serta luka di bahagian kaki itu menolak untuk ditahan di hospital, sebaliknya mahu melakukan penjagaan sendiri di rumah.

Baca juga: Isu kerabat Pahang didakwa serang orang awam: Tengku Hassanal tidak akan lindungi mana-mana pihak