Malaysia Dateline

Insiden keganasan di selatan Thai menjejaskan aktiviti harian penduduk minoriti muslim.

Dialog damai Selatan Thailand dijangka sambung semula

Dialog damai untuk menamatkan keganasan di selatan Thailand, dijangka akan disambung semula sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu dari sekarang di Malaysia, kata fasilitator Malaysia, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Beliau yang kini dalam lawatan ke selatan Thailand iaitu ke Pattani, Yala dan Narathiwat telah mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan, termasuk pihak keselamatan dan wakil rakyat tempatan dalam usaha mencari perdamaian di empat wilayah selatan Thailand.

“Sebagai fasilitator, kami mahu mengetahui komitmen mereka (pihak kerajaan Thailand, Majlis Syura Patani (Mara Patani) dan kumpulan bersenjata lain) dalam perbincangan yang bakal diadakan.

“Kalau tiada halangan, dialog damai itu akan diadakan dalam dua minggu lagi di Pulau Pinang, Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dialog damai yang tergendala sejak Februari, berikutan bertindak menggantung rundingan damai itu sehingga selesai Pilihan Raya Umum Thailand pada 24 Mac, dijangka akan disambung semula berikutan kecewa dengan tindakan ketua panel perunding kerajaan Thailand, Jeneral Udomchai Thammasarorat yang enggan bertemu dengan panel perunding Mara Patani di Kuala Lumpur.

Sehingga kini, kira-kira 7,000 orang terbunuh dalam konflik yang berlaku di empat wilayah di Selatan Thailand – Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla.

Sejak beberapa tahun lepas, Mara Patani yang mewakili beberapa kumpulan pejuang di selatan Thailand telah mengadakan rundingan damai dengan kerajaan Thailand, bagi mencari titik noktah kepada konflik yang berlarutan sejak 2004.

Berhubung peletakan jawatan Ketua Panel Dialog Mara Patani, Shukri Hari, Abdul Rahim berkata dialog damai untuk mencari perdamaian di wilayah bergolak itu, tetap akan diteruskan.

“Saya tidak tahu kenapa Shukri meletak jawatan ataupun siapa bakal pengganti beliau. Apapun rundingan damai itu akan diteruskan,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan baharu Thailand di bawah pimpinan Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha akan memberi kesan kepada proses perdamaian, Abdul Rahim berkata “Saya rasa tidak akan berubah.”

“Pihak yang sama masih lagi berkuasa… tidak ada cadangan substantif dibawa ke hadapan,” katanya.