Dialog meneran dengan ayat tasawuf berulang, mengapa penggemar filem ini beri Syamsul Yusof hanya 4.5 / 10

Oleh ARIF ATAN

Filem arahan Syamsul Yusof ini dikecam antara lain kerana sarat dengan dialog meneran bersama ayat tasawuf berulang selain langsung tiada lagu atau irama beridentitikan Melayu sebagai muzik latar apa lagi menyelitkan loghat Pahang.

Sejak mula ditayangkan di Netflix kelmarin, filem yang meraih kutipan RM97 juta itu dihujani maklum balas penonton termasuklah kritikan membina dan kecaman membinasakan.

Ikuti pandangan JAKA JATI mengapa beliau memberikan mata hanya 4.5 / 10 untuk filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (Mat Kilau) kepada Syamsul sebaliknya 9 / 10 untuk produksi Studio Kembara:

“Walaupun saya pun kritik filem Mat Kilau, tapi saya tak setuju dengan pernyataan pukul rata si ‘Melayufobia’ macam natang ni.

Tak adillah kalau si Burhan ni perangai macam begini, kita terus cakap satu Malaysia ni perangai macam dia juga termasuklah mak bapak dia.

Nak kritik arahan Syamsul Yusof, kau tuju pada dia sajalah. Dia yang arahkan filem itu, bukannya P. Ramlee atau orang Melayu lain.

Golongan ‘inferiority complex’ macam ni suka benar ambil kesempatan memburukkan bangsa.

#image_title

Ini ulasan saya tentang filem Mat Kilau:

Filem Syamsul Yusof: Mat Kilau 4.5 / 10
Produksi Studio Kembara: Mat Kilau 9 / 10

Kenapa?

Sebagai penggemar filem, saya suka ulas filem tambah-tambah filem kita sendiri.

Sebagai orang Melayu rakyat Malaysia, saya sangat suka ada filem berdasarkan sejarah perjuangan Melayu di Tanah Melayu tambah-tambah yang pecah panggung mengalahkan kutipan filem antarabangsa: Avengers – Endgame.

Apa pun, sebagai seorang penonton di sebuah pawagam di New Delhi, India tahun 2017 dulu, saya pernah cukup hairan dengan sikap penonton India sana yang bangun beramai-ramai, bersorak ketika babak kemunculan hero ‘Wolverine’ dalam filem Logan.

Babak filem tu biasa saja, tapi keterujaan penonton India ni macam terlebih-lebih pula. Dia punya riuh macam bidalan lama Melayu dulu yang melibatkan ‘kapal karam’ tu.

Saya harap ini sedikit sebanyak dapat beri gambaran ringkas tentang pandangan saya terhadap fenomena filem Mat Kilau arahan Syamsul Yusof ni.

Biar saya terangkan kenapa saya bagi 4.5 / 10 untuk filem Mat Kilau.

Temanya adalah biopik fiksyen sejarah. Tak ada masalah. Tapi bila sebut istilah ‘fiksyen’ ni, sepatutnya kita boleh hasilkan jalan cerita yang lebih menarik. Fiksyen itu adalah ‘rekaan’.

Kita tidak terikat dengan fakta sebenar kononnya semua peristiwa tu betul-betul berlaku. Kita cuma terikat dengan peristiwa asas sejarah tu.

Pada saya, fiksyen / rekaan dalam jalan cerita filem Mat Kilau ini terlalu ‘klise’. Terlalu biasa. Dah banyak filem luar dengan jalan cerita yang lebih kurang sama dari tahun 1980-an dulu. Tak ada apa yang menarik.

Bahagian itu saja dah bosan, apatah lagi dengan dialog meneran dengan ayat tasawwuf berulang yang kurang mengesankan daripada awal hingga akhir filem.

Kita ni kalau dengar ceramah agama pun, kita boleh ulas ustaz tu ceramah syok lah… ustaz ni ceramah bosan la.. menguap aku bla bla.

Muzik latar tak payah cakaplah. Tak ada suasana Tanah Melayu langsung. Tak ada identiti muzik kita sendiri. Padahal, kita bukan tak ada instrumen muzik Melayu sendiri untuk timbulkan suasana tu.

Beduk ke, kompang ke, serunai ke… Yang diguna pakai adalah muzik latar templat yang lebih kurang sama dengan filem Syamsul yang dulu, cuma elok sikit daripada Munafik 2 yang sentiasa menggelabah muzik latarnya tu.

Penggunaan suara latar ala serapah Latin dan lenggok Timur Tengah dalam filem Mat Kilau ni pun pada saya tak kena langsung.

Berbeza dengan apa yang M.Nasir buat dalam filem Puteri Gunung Ledang. Yang ini, macam keluhan padayappa jadi muzik latar dalam filem kungfu dia punya rasa canggung dia.

Kombinasi ni semua buatkan saya rasa menonton filem ni macam tonton klip sejarah dengan dialog tasawuf tauke baju dekat YouTube tapi dengan bajet RM8 juta.

Dramanya pun klise. Bahagian ini patut dimasukkan sesuatu yang segar. Fiksyen ‘kan sesuatu yang tak pernah terlintas dalam kesusasteraan Melayu.

Tikam perut ibu mengandung ni ,orang Melayu dah terdedah dari kisah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang era 1600-an lagi. Tak ada apa elemen yang segar dekat situ.

Meh saya bagi contoh filem Melayu terdahulu apa yang saya maksudkan sebagai segar. Tak kena pulak kalau nak dibandingkan dengan filem luar negara.

Ingat filem Ibu Mertuaku arahan P.Ramlee tahun 1962? Filem tu drama dalam masyarakat antara dua darjat yang tipikal. Mak mertua kaya tak suka menantu miskin.

Tapi yang membibitkan rasa tragis dalam kalangan penonton hingga melekat ke hari ini adalah babak Kasim Selamat cucuk mata dia sendiri dengan garfu setelah dia boleh melihat kembali lepas pembedahan mata kerana terlalu kecewa dengan kebenaran yang telah dia lihat masa dia celik.

Itu, Hollywood pun tak buat. Bollywood pun tak buat. Jepun pun tak buat. Itu adalah fiksyen yg segar untuk dipaparkan dalam filem.

Itu adalah contoh ketinggian kreativiti intelektual dalam seni filem kita pada 60 tahun yang lepas. Saya ulang, ENAM PULUH TAHUN LEPAS.

Pada saya juga, prop latar belakang filem tu tak digunakan secara optimum untuk menambah perencah suasana pada filem. Ini kaedah yang selalu Jackie Chan guna dalam filem aksi dia. Bab ni, filem Geran jauh lebih bagus dari filem Mat Kilau.

Kan ada aktiviti melombong emas dalam filem tu. Kuali melombong tu hempukkan saja pada askar Inggeris. Peranan perempuan Melayu dalam perjuangan tu pun kurang.

Nampak macam lembik benarlah perempuan ni bergantung dekat lelaki saja. Patut dua, tiga perempuan Melayu kampung pi sumbatkan ketulan emas pada musuh-musuh yang gila nak menjarah harta Tanah Melayu macam tonyoh cabai dekat mulut.

Ada babak yang segar macam ‘mandi embun’ tu. Sayangnya, babak ni tak digilap betul-betul. Penonton yang tak tahu kisah Mat Kilau tak sedar langsung babak mandi embun ni. Mereka cuma nampak watak tu sapu air dari daun. Itu saja. Tak ada apa yang istimewa.

Apa pun, saya cukup tabik pada tenaga produksi yang berusaha, bertungkus lumus untuk terbitkan filem yang mengangkat tokoh Tanah Melayu ni.

Bukan ramai yang sanggup terbitkan filem macam ni sebab risikonya besar. Jati diri rakyat Malaysia ni masih celaru. Kita boleh nampak banyak reaksi mengarut dari segelintir pihak tentang usaha mengangkat nama Mat Kilau. Mereka risau kepentingan mereka terjejas, membelakangkan kepentingan kebangsaan negara Malaysia ni.

Saya cadangkan untuk produksi, dengan bajet sebesar RM8 juta tu, carilah skrip yang betul-betul kuat. Penulis yang betul-betul intelektual, sampai orang luar negara, orang bukan Melayu pun boleh terkesan.

Bukan hanya mengharap pada sentimen Melayu orang kita saja. Buatlah pertandingan terbuka untuk skrip filem sejarah seterusnya umpamanya.

Syamsul ni pada saya, kekuatan dia adalah pandai tarik orang masuk panggung. Aliff Syukri pun pandai tarik orang beli produk dia. Itu tak menjadikan produk itu bagus.

Syamsul lebih rela untuk cipta pelat Cina pada lidah Melayu dalam filem-filem gengsternya, tapi tak mampu nak selit loghat Pahang pada filem tentang tokoh Melayu Pahang.

Ada sesuatu yang tak kena dengan visi seni pengarah ni tentang apa yang nak disemai pada jiwa penonton.

Saya yakin, ada ramai penulis skrip dan pengarah yang lebih bagus di Malaysia. Mereka cuma tak didedahkan peluang sebab bapa mereka bukan tauke produksi wayang.

Sekali lagi, tahniah untuk Tuan Abdul Rahman Dali. Masyarakat Melayu kita dahagakan pengisian jati diri. Filem ini keluar kena pada masanya, sekaligus membuktikan bahawa pasaran Melayu adalah pasaran yang terbesar di Malaysia.

Kalau semua rakyat Malaysia termasuk yang bukan bumiputera mempunyai jati diri kebangsaan yang sama dan bukannya ber’jenis’ , dah tentu segala apa pasaran tempatan kita akan menjadi lebih kuat seperti negara-negara bangsa maju yang lain.

Lupa pulak, dari segi lakonan, tabik saya pada Beto Khusyairi, Shaharudin Tambi dan A. Galak. Lakonan Jalaluddin Hasan , Rahim Razali agak mengecewakan saya.

Baca juga Mat Kilau trending dekat Twitter lepas ditayang di Netflix hari ini

Baca juga Adi Putra taja perjalanan Johan As’ari ke Indonesia untuk Malam Gala Filem Mat Kilau