Malaysia Dateline

Dialog rungkai isu agama, adab menulis bukan PN-PH

Pensyarah fekah dan usul fiqh Dr Ustaz Rozaimi Ramle berharap dialog secara atas talian dengan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Ustaz Mokhtar Senik agar menjadi kenyataan.

Berkongsikan poster dialog terpampang ungkapan ‘Dialog Takbir Malaikat’, Ketua Jabatan Pengajian Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu sempat menyebutkan kembali perlambangan ‘terjelir lidah’ yang digunakan Mokhtar semalam.

“Cantik juga poster ini. Entah siapa yang buat. Insya Allah moga jadi kenyataan. Dialog ini bukan untuk cari makan sambil terjelir lidah sana sini.

“Tetapi untuk merungkai isu agama dan adab menulis. Ini bukan isu antara PN (Perikatan Nasional) dan PH (Pakatan Harapan),” katanya dipetik dari Facebook hari ini.

Semalam, Ustaz Rozaimi memberitahu wakilnya telah menghantar jemputan kepada Mokhtar bagi dialog tersebut.

“Moga dialog ini menjadi kenyataan dan dapat merungkai kekusutan dalam isu ini,” katanya lagi.

Beliau sebelum ini menegur Mokhtar apabila mendakwa Muafakat Nasional (MN) yang melibatkan Pas dan Umno sebagai kesepakatan yang cukup berkat dan membuatkan malaikat di langit melaungkan takbir sehingga bergema ke seluruh penjuru alam.

Ustaz Rozaimi menyifatkan kenyataan Mokhtar yang menyebut tentang “persaudaraan dua parti Muslim” (Umno dan Pas) itu sebagai melampau dan menasihatkan hal-hal ghaib tidak dibuat main dalam politik kepartian.

Bagaimanapun, Mokhtar tanpa menyebutkan nama Ustaz Rozaimi dalam reaksinya kemudian menyindir termasuk berkata, terpulang untuk pensyarah itu kalau mahu menyebut persaudaraan dalam PH bersama DAP.

“Yang saya peliknya masa ada org sebut ‘Malaikat pun pernah buat salah’, Nabi pun pernah tak tunai janji dan ‘Kalau saya Tuhan’, tak pula Dr ini beri komen apa-apa.

“Mungkin waktu itu beliau sedang sibuk mengkaji hadis dalm gua. Maklumlah kat sana tiada akses internet, FB dan WhatsApp,” kata Mokhtar.

Ustaz Pas itu juga mengakui penuh yakin kerjasama Pas dan Umno antaranya adalah kerana agama.

“Kalau saya tak yakin kerjasama ini kerana agama dan disukai Allah dan para MalaikatNya, buat apa saya tunggu lagi dlm MN (Muafakat Nasional). Itu bodoh namanya.

“Cukuplah ustaz. Orang lain pun cari makan juga tapi tidak sampai terjelir ke sana dan terjelir ke sini menjilat sisa-sisa dunia,” sindir Mokhtar lagi.