Diana Danielle sudah hantar notis agar Farid Kamil pindah rumah, nafi masih berhubung

Oleh WAN SITI AMINAH

Episod kemelut rumah tangga pasangan pelakon, Farid Kamil dan Diana Danielle masuk ke babak baharu apabila aktres popular itu menafikan dakwaan suaminya bahawa mereka masih berhubung.

Malah Diana menerusi satu kenyataan yang dikongsikan di platform Instagram itu turut meminta supaya Farid menghormati permintaannya untuk segera berpindah keluar dari rumah.

Hal ini berikutan pasangan suami isteri berkenaan akan melalui proses penceraian dalam tempoh terdekat dan Diana juga mendakwa sudah tidak mahu lagi tinggal sebumbung dengan Farid.

Difahamkan, kenyataan tersebut dikeluarkan pada awal pagi tadi sebagai maklum balas kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari ketika ditemu bual pihak media, semalam.

“Kami tidak bercakap menerusi panggilan telefon semalam. Saya sudah beri notis dalam WhatsApp untuk dia (Farid) pindah rumah secepat mungkin kerana akan lalui proses perceraian.

“Saya tidak akan benarkan hal yang tak pernah berlaku dikatakan berlaku. Saya juga tidak mahu sebumbung lagi seperti yang sudah dimaklumkan sendiri kepadanya. Sila hormati,” katanya menerusi satu hantaran di Instagram Story.

Terdahulu, Farid ketika ditemu bual oleh pihak media menyifatkan bahawa kemelut rumah tangganya bersama Diana hanyalah sekadar perselisihan faham kecil yang biasa dilalui oleh pasangan suami isteri lain.

Farid juga memaklumkan mereka berdua baru sahaja berhubung semalam (kelmarin) melalui panggilan telefon dan pesanan mesej selain mengakui masih lagi tinggal sebumbung.

Pada Isnin lalu, pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson itu mengejutkan ramai pihak selepas memuat naik satu hantaran di akaun Instagram miliknya bagi mengumumkan keputusannya untuk berpisah dengan Farid Kamil.

Diana di dalam hantaran itu memberitahu dirinya sudah nekad untuk memfailkan perceraian terhadap suaminya buat kali kedua selain mengatakan janji yang sebelum ini ditabur oleh lelaki terbabit tidak tertunai.

Pelakon berusia 32 tahun terbabit sebelum ini sudah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari terhadap suaminya pada 10 Mac lalu dengan alasan tiada persefahaman, berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan.

Farid dan Diana kemudian sah bercerai talak satu dalam prosiding yang dilakukan secara atas talian menerusi aplikasi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun pasangan itu kembali rujuk tidak lama kemudian.

Sekadar info, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia sembilan tahun.

Baca juga: Nekad fail cerai, Diana Danielle rupanya sudah minta peguam bersedia dari sebulan yang lalu