Ebit Lew akhirnya memperoleh perintah injuksi interim daripada Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap penyanyi rap, Caprice dan selebriti media sosial, Mondy Tattoo.
Perintah itu dikeluarkan mahkamah bagi menghalang Caprice dan Mondy daripada mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan dan mencemarkan reputasi pendakwah itu.
Kedua-dua individu tersebut turut diperintahkan mahkamah untuk memadam satu rakaman di platform Youtube terbitan Nustix.com yang bertajuk The Podcast Show.
Dalam perintah injuksi interim sama, Caprice difahamkan hanya diberi tempoh 24 jam oleh mahkamah untuk memadam rakaman tersebut, lapor Utusan Malaysia.
Tidak cukup dengan itu, penyanyi berusia 35 tahun teersebut turut menerima perintah untuk memadam sebanyak lima video lain di akaun Instagram miliknya.
Bagaimanapun, tinjauan di laman Youtube dan akaun Instagram milik Caprice mendapati lelaki tersebut masih belum memadam video yang katanya berunsur fitnah itu.
Menurut penyataan tuntutan difailkan sebelum ini, Ebit selaku plaintif mengaku mula mengenali Mondy ketika menjalankan aktiviti kemanusiaan di Jakarta, Indonesia.
Dalam pertemuan yang berlaku pada 7 Jun lalu itu, wanita bertatu tersebut memperkenalkan dirinya sebagai ibu tunggal dan gelandangan kepada pendakwah terbabit.
Mondy kemudian dibawa terbang ke Malaysia pada 12 Jun lalu bagi mempelajari dan mendalami agama Islam di Ma’ahad Ad-Dirasaatil Islamiyyah, Sri Petaling, Kuala Lumpur.
Namun begitu, pemilik nama sebenar Dita Restu Amanda itu tiba-tiba memutuskan untuk tidak lagi meneruskan pembelajarannya dan pulang ke Indonesia pada Julai lalu.
Malaysia kemudian dikejutkan dengan rakaman audio siar (podcast) yang dimuat naik oleh Caprice pada 15 September lalu yang menampilkan Mondy sebagai tetamu jemputan.
Rakaman tersebut mendakwa plaintif (Ebit) sebagai penunggang agama dan individu tidak bertanggungjawab yang melakukan gangguan seksual terhadap Mondy.
Memuat naik kenyataan-kenyataan berbaur fitnah, Caprice juga mengeluarkan satu lagi video pada 22 September lalu kononnya Ebit disiasat berhubung dakwaan rogol.
Plaintif mendakwa defendan pertama secara jahat menerbitkan rakaman tersebut tanpa membuat sebarang pengesahan fakta daripada plaintif mahupun peguamnya.
Akibat daripada penyiaran kenyataan-kenyataan berbaur fitnah yang dikeluarkan oleh Caprice dan Mondy itu, Ebit didakwa telah dikecam, diejek dan diaibkan.
Oleh itu, selain perintah injunksi terhadap kedua-dua defendan dikekalkan, Ebit turut meminta Caprice dan wanita asal Indonesia itu untuk membuat permohonan maaf.
Permohonan maaf itu akan disiarkan di semua laman sosial dalam tempoh 48 jam selepas kedua-dua individu terbabit diserahkan dengan perintah termeterai.
Pemilik nama sebenar Ebit Irawan Ibrahim Lew itu turut memohon ganti rugi am, teladan, pampasan dan lain-lain yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 18 Oktober ini untuk pengurusan kes saman tersebut di hadapan Hakim Sayani Mohd. Nor.
Baca juga: Oyen tumpahkan bahan kimia, 16 anggota bomba terpaksa dikejarkan ke makmal IPG