Dicanang dapat anugerah ‘Tun’, keluarga terkejut Nik Aziz hanya diberi gelaran ‘Tan Sri’?

Oleh KIM SYAZIE

Ahli keluarga bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat membuat satu pendedahan yang mengejutkan baru-baru ini.

Mengakui terkilan, mereka terkejut apabila mengetahui pemimpin PAS itu hanya diberi anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Hal ini kerana, keluarga Allahyarham mendakwa mereka telah ‘dicanangkan’ lebih awal bahawa Nik Aziz bakal dikurniakan pangkat ‘Tun’. 

Kenyataan itu dikongsikan oleh cucu Allahyarham, Nik Nur Humaira menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya.

Menurut Humaira, mereka hanya mengetahui keadaan sebenar setelah menerima surat jemputan dari Istana Negara.

“Ahli keluarga ‘dicanangkan’ lebih awal bahawa Tuan Guru (Allahyarham Nik Aziz) akan dianugerahi gelaran ‘Tun’.

“Namun sebaliknya apabila surat istana tiba, ternyata kami dikejutkan dengan penerimaan gelaran ‘Tan Sri’ SAHAJA,” tulisnya.

Humaira juga mendakwa neneknya tetap hadir menerima anugerah kerana tidak dapat menolak jemputan daripada Istana Negara.

Nik Aziz menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 bagi Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) bagi kategori perkhidmatan awam.

Mewakili suaminya, anugerah itu diterima oleh isteri Allahyarham iaitu nenek kepada kepada Humaira, Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Baca juga: Wan Fayhsal mengaku guna ayat Quran dan hadis untuk menang PRU, tercengang KJ duduk sebelah