Malaysia Dateline

Didakwa bankrap Pengerusi PKB digesa tampil beri penjelasan

AMANAH Wilayah Persekutuan menggesa agar Pengerusi Pembangunan Kampong Bharu (PKB) tampil segera memberikan penjelasan berhubung status kebankrapannya seperti mana yang disahkan melalui carian rasmi terkini Jabatan Insolvensi Malaysia.

Pengerusinya Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, sekiranya benar beliau masih berstatus bankrap, maka berdasarkan Seksyen 10(c) Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu 2011, beliau harus mengosongkan jawatan tersebut dengan segera.

Katanya, dalam masa yang sama menteri perlu melantik penggantinya supaya PKB dapat memainkan peranan yang sewajarnya demi keadilan dan kebaikan pemilik tanah Kg Sungai Baru khususnya dan Kampong Bharu amnya.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dalam satu sidang media baru-baru ini mendakwa Datuk Affendi Zahari sebagai Pengerusi PKB muflis.

Justeru, Khalid mempersoalkan dengan status tersebut bagaimana Affendi kekal menjawat jawatan pengerusi di PKB.

Dr Hatta Ramli

Dalam pada itu, Dr Hatta berkata, PKB dilihat mengutamakan pemaju bukannya menyuarakan suara dan hak-hak pemilik tanah yang ditindas akibat pewartaan pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 oleh Kerajaan Keluarga Malaysia ini.

“Sesi libat urus dengan pemilik tanah yang diadakan pada 7 Jun 2022 yang lalu mengesahkan bahawa PKB telah menjadi boneka Pemaju apabila gagal berperanan menjadi orang tengah untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapi penduduk.

“Malah, PKB seolah-olah memaksa pemilik tanah untuk menerima sahaja tawaran asal Pemaju yang dibuat pada tahun 2019 yang telah pun ditolak penduduk, tanpa mengambil kira sedikitpun keluhan, cadangan ataupun mengadakan rundingan penambahbaikan dengan penduduk yang merupakan pemilik tanah yang sah di Kg Sungai Baru tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menggesa agar PKB kembali berperanan sebagai badan penyelaras atau pemudahcara kepada pembangunan Kampong Bharu selaras dengan visinya untuk menjadi “Peneraju Pembangunan Semula Kampong Bharu Ke Arah Kesejahteraan Komuniti”.

Namun apa yang berlaku, katanya PKB dilihat lebih memihak kepada Pemaju dan tidak mengutamakan langsung kesejahteraan dan keadilan kepada pemilik tanah dan komuniti Kg Sungai Baru itu sendiri.

“Harus ditegaskan bahawa mereka adalah pemilik tanah yang bergeran dan berdaftar dan jangan sesekali mereka dilayan seperti setinggan yang menumpang atas tanah kerajaan.

“Pemilik-pemilik tanah mempersoalkan perlantikan Pemaju sedangkan PKB sepatutnya menyarankan kepada Menteri atau kerajaan untuk mempertimbangkan beberapa ‘Request for Proposal (RFP)’ dari syarikat Pemaju lain yang jauh lebih berkaliber dan mempunyai kedudukan kewangan, kemampuan, kepakaran serta pengalaman dalam pembangunan hartanah dalam skala yang besar khususnya di dalam bandar.

“Misi PKB untuk “Memudahcara Pembangunan Kampong Bharu Dengan Mengekalkan Identiti Melayu Secara Persetujuan Bersama Dan Pragmatik” jelas sekali gagal kerana cadangan dan persetujuan bersama dengan pemilik tanah Kg Sungai Baru tidak pernah dicapai sama sekali,”ujarnya lagi.

Katanya, AMANAH sekali lagi mengulangi tuntutan dan desakan penduduk Kg Sungai Baru agar Perdana Menteri mengambil perhatian serius atas permasalahan ini dan segera membatalkan Warta di bawah Akta Pengambilan Tanah yang telah dikeluarkan agar pihak-pihak boleh kembali ke meja rundingan untuk membincangkan perkara ini dalam keadaan tenang tanpa ditekan dengan Akta ini dalam usaha untuk mencapai solusi menang-menang.

“Jelas sekali pihak Menteri dan PKB telah gagal melindungi dan membawa suara dan hak penduduk, sebaliknya rela menjadi jurucakap dan boneka Pemaju semata-mata ibarat harapkan pagar, pagar makan padi,” katanya lagi.

Baca juga: Apa kelebihan rumah yang dibina guna bata merah, ini penjelasan kontraktor

Baca juga: Lelaki saman anak tiri, minta ganti rugi RM23,081