Didakwa berhutang RM7,000 dengan kontraktor, ini respon Rozita Che Wan

Oleh MALAYSIADATELINE

Belum reda isu hutang mencecah RM1 juta, nama pelakon Rozita Che Wan kembali menjadi topik perbualan hangat selepas didakwa tidak melangsaikan bayaran upah kepada pihak kontraktor.

Perkara ini dapat dilihat menerusi ruangan komen akaun Instagram milik pelakon berusia 51 tahun itu apabila orang ramai mendesaknya untuk segera membayar hutangnya kepada kontraktor berkenaan.

Memetik laporan Harian Metro, selebriti jelita yang mesra disapa Che Ta itu turut diberi peringatan oleh pengguna platform Instagram untuk membayar hutang sekiranya tidak mahu diazab di api neraka, kelak.

“Kasihan dekat kontraktor-kontraktor yang awak tak bayar upah kerja mereka itu, makcik. Tak takut azab neraka ke?,” soal salah seorang pengguna kepada Che Ta memetik laporan Harian Metro.

Watak utama di dalam drama komedi, Che Kiah Perkasam itu bagaimanapun tidak hanya berdiam diri dan bertindak kembali bertanyakan soalan kepada netizen mengenai dakwaan yang mereka lemparkan.

Che Ta atau nama sebenarnya, Rozita Abu Bakar tampil mempersoalkan kontraktor manakah yang menuntut hutang daripadanya dan adakah mereka memiliki bukti mengenainya.

“Kontraktor mana yang saya berhutang itu? Ada bukti ke?.” Balas Che Ta memberikan respon kepada netizen berkenaan berhubung dakwaan dirinya berhutang dengan pihak kontraktor.

Terdahulu, seorang kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pemasangan rumput palsu memuat naik hantaran mendakwa Che Ta enggan membayar upah sebanyak RM7,000 malah pelakon itu juga gagal dihubungi.

Hantaran tersebut bagaimanapun dipadam oleh individu berkenaan selepas mendapat perhatian ramai sekali gus menimbulkan tanda-tanya orang ramai berhubung kesahihan dakwaan tersebut.

Terdahulu, kediaman mewah milik Che Ta yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor diserbu oleh pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada Selasa lalu untuk urusan penilaian barangan bagi tujuan penyitaan.

Hal ini berikutan Che Ta telah gagal menjelaskan hutang pinjaman perniagaan berjumlah hampir mencecah RM1 juta daripada agensi berkenaan yang dipinjamnya dari tahun 2017.

Pinjaman bernilai RM960,000 itu dibuat melalui syarikat milik Rozita iaitu RCW Worldwide Sdn Bhd dengan pelakon terbabit dan anak sulungnya yang berusia 28 tahun iaitu Ammar Effendy bertindak sebagai penjamin.

Baca juga: Pernah rendahkan diri untuk minta hutang, Zahnita serik nak jadi model