Malaysia Dateline

Didakwa fitnah, burukkan parti: Takan saya nak berpaling tadah, soal Aishah

Penyanyi, Aishah, menyifatkan tindakan pihak tertentu menabur fitnah konon dia memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti tersebar di laman sosial, baru-baru ini, sebagai provokasi untuk memancing emosinya.

Menyedari niat jahat di sebalik perbuatan berkenaan, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 53, lebih selesa mengambil sikap tidak peduli kerana tahu dirinya berada di pihak benar.

“Takkanlah saya yang sejak dulu berjuang dalam politik bersama PH, selain sanggup memperjudikan kerjaya nyanyian demi prinsip sehingga disenarai hitam, tiba-tiba mahu berpaling tadah? Perkara itu memang tidak logik sama sekali.

“Jujurnya, saya sendiri terkejut ketika mula-mula melihat poster yang tersebar itu. Rasa lucu pun ada apabila si penulis mengatakan disebabkan hasutan saya, kerajaan PH menang dalam pilihan raya umum tempoh hari.

“Sebenarnya, fitnah sama pernah tersebar sebelum ini dan tak sangka ia disebarkan kembali, baru-baru ini. Begitupun saya percaya, dalang di sebalik penyebaran fitnah ini sengaja mahu menarik perhatian saya dan ia dilakukan oleh mereka yang memang tiada kerja,” katanya seperti dipetik BH Online ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan video muzik lagu terbarunya, Malar, di Kuala Lumpur hari ini.

Malar ialah lagu balada ciptaan sepenuhnya Hazami.

Menurut penyanyi cukup yang popular dengan lagu Janji Manismu itu, dia hairan dirinya masih menjadi mangsa fitnah berkaitan politik walaupun sudah mengumumkan, fokusnya kini hanya terhadap bidang muzik.

“Saya sendiri tidak tahu tujuan sebenar pihak terbabit apabila tiba-tiba membangkitkan perkara ini. Jika dilihat pada perkongsian saya di Facebook mahupun Instagram, saya memang jarang menulis mengenai politik. Jika ada pun, hanya sekali-sekala apabila saya berasakan perlu untuk bersuara.

“Mujurlah rakan politik saya faham dengan situasi ini dan tidak bulat-bulat menelan fitnah terbabit. Mereka selalunya akan menghantar mesej dan bertanyakan sendiri pada saya jika ada sesuatu yang mendatangkan kemusykilan,” katanya.