Didakwa guna nama Aman Graseka untuk raih derma rakan artis, ini respon isteri

Oleh WAN SITI AMINAH

Isteri kepada pelakon veteran, Aman Graseka iaitu Reena Arina akhirnya membuka mulutnya berhubung isu yang hangat diperkatakan, baru-baru ini.

Reena bagaimanapun hanya memberi jawapan ringkas mengenai dakwaan bahawa dirinya merupakan dalang di sebalik rayuan bantuan kewangan buat Aman Graseka.

Enggan mengulas lanjut, Reena yang juga merupakan bekas pelakon itu tidak mahu mengeluarkan kenyataan untuk menafikan atau mengesahkan dakwaan tersebut.

Menurut Reena, dia tidak berani memberikan sebarang komen memandangkan Aman Graseka telah memberikan kenyataannya kepada pihak media, lapor Berita Harian.

“Saya tidak tahu nak jawab. Abang Aman sudah cakap hari itu, jadi saya tidak tahu. Saya tidak berani nak komen. Minta maaf,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Reena kemudian memohon agar pihak media berhubung secara terus dengan pelakon berusia 56 tahun itu untuk mendapatkan komen berhubung kontroversi tersebut.

Namun ketika ditanya mengapa pemilik nama sebenar Aman Shah Baharom Shah itu tidak menjawab panggilan telefon, Reena akui dirinya tidak tahu menahu sebabnya.

“Nak cakap dengan abang? Pasal kes yang itu ya? Kami pun tak tahu. Abang Aman tiada, dia keluar. Oh dia tak angkat (panggilan telefon)? Saya tak pastilah.” Ulasnya.

Terdahulu, penyampai radio selebriti iaitu Sharifah Shahirah memuat naik hantaran di Instagram memaklumkan bahawa rakan artisnya itu memerlukan bantuan kewangan.

Wanita yang lebih mesra disapa Shiera itu memohon bantuan rakyat Malaysia agar pelakon ‘senior’ terbabit tidak perlu lagi meminta wang daripada rakan selebriti lain.

Namun selepas menyalurkan bantuan sebanyak dua kali, Shiera meragui kesahihan keadaan kewangan Aman dan memohon pelakon itu menjelaskan situasi sebenar.

Bekas isteri Aman iaitu penyanyi, Mas Idayu turut tampil bersuara kerana dia percaya peminta bantuan itu bukanlah Aman, sebaliknya ‘scammer’ di dalam rumah lelaki itu.

Untuk rekod, Aman pernah mendirikan rumah tangga dengan Mas Idayu pada 1997 dan dikurniakan seorang anak iaitu Nurdayini Ashigah sebelum berpisah pada 2006.

Bintang filem Cinta Kita itu kemudian berkahwin dengan model dan pelakon, Reena Arina pada tahun 2018 di Masjid Al-Huda, Kampung Padang Geh, Kuala Ketil, Kedah.

Baca juga: Didakwa potong gaji pekerja, tak bayar OT, Chef Wan pula dedah cerita sebenar