Didakwa jadi dalang siasatan SPRM ke atas Menteri Besar, ini respon Ketua Bersatu Perlis

Oleh MALAYSIADATELINE

Ketua Bersatu Perlis, Abu Bakar Hamzah menafikan dakwaan bahawa beliau adalah dalang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Menteri Besar negeri itu iaitu Mohd Shukri Ramli serta anaknya baru-baru ini.

Menurut Abu Bakar, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Mohd Shukri dan akan terus menyokong selagi mana Pesuruhjaya Pas Perlis itu memegang jawatan Menteri Besar.

Katanya, siasatan yang dijalankan ke atas Mohd Shukri kerana disyaki terlibat dalam kegiatan salah guna kuasa itu juga bukanlah sebahagian dari rancangan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis itu turut memaklumkan bahawa PN Perlis yang ditunjangi parti Pas dan Bersatu itu memiliki hubungan yang baik dengan pentadbiran kerajaan negeri.

Oleh yang demikian, pencanggahan pendapat di antara parti tersebut sebelum ini hanyalah sekadar pandangan peribadi dan bukanlah bermakna mereka tidak serasi, lapor Berita Harian.

“Apabila ada satu cerita berkaitan dengan pengakuan bahawa (saya) membuat laporan kepada SPRM, saya sudah membuat laporan polis menyangkal dakwaan itu sekeras-kerasnya kerana itu bukan rancangan kita (PN).

“Oleh itu, pandangan dan percanggahan pendapat yang ada tidak menggambarkan kita tidak serasi sebaliknya ia hanyalah pandangan peribadi semata-mata,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Terdahulu, Abu Bakar mengetuai lima wakil rakyat termasuklah tiga EXCO Perlis dari Bersatu menandatangani arahan bertulis yang merupakan surat akujanji taat setia kepada parti berkenaan.

SPRM sebelum ini dilaporkan menahan reman anak Menteri Besar Perlis dan lima yang lain untuk membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan bernilai RM600,000 sejak 2022.

Penelitian mendapati tuntutan tersebut dibuat meskipun projek melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan, pembekalan dan perkhidmatan dari 2022 hingga kini itu tidak dilaksanakan.

SPRM turut menahan Mohd Shukri ketika menghadiri ibu pejabat SPRM pada 30 April lalu bagi memberi keterangan namun dibebaskan pada hari yang sama sejurus selepas kenyataannya selesai dirakamkan.

Baca juga: Lapan tahun jual makanan RM1, peniaga di Kelantan ini tak kisah jual murah demi berkongsi rezeki