Penyanyi dan pelakon, Mark Adam telah menjadi sasaran kecaman pengguna media sosial tempatan baru-baru ini selepas dikatakan menjual set sate dengan harga tidak masuk akal di sebuah festival makanan.
Harga yang ditawarkan iaitu bermula dari RM19.90 hingga RM24.90 itu disifatkan cekik darah berikutan pengunjung yang hadir ke festival tersebut rata-ratanya terdiri daripada golongan B40.
Difahamkan bagi setiap set ‘Satay Bhalut’ yang dijual oleh Mark Adam, pelanggan akan mendapat tiga batang sate daging premium bersama secawan minuman iaitu jus blue lemon.
Mark Adam yang menyedari kecaman orang ramai itu kemudian tampil memberikan penjelasan menerusi satu hantaran video di laman TikTok mengenai harga dan kos membabitkan perniagaan baharunya.
Hal ini kerana komen-komen yang telah dilontarkan oleh netizen dikatakan terlalu berlebihan sehingga mengguris hati pekerjanya malah turut menghilangkan semangat untuk mereka terus bekerja.
“Saya tidak kisah (menerima komen negatif) sebab sudah terbiasa dengan perkara sebegini. Tetapi pekerja saya ini adalah budak-budak muda. Mereka sekarang telah hilang semangat selepas terbaca komen.
“Katanya Satay Bhalut saya ini dijual dengan harga Isra***l’. Saya punya sate menggunakan daging yang premium di mana kami mengambil stok daripada kilang yang sudah ‘established’.
“Kilang ini juga turut membekalkan daging sate ke hotel, restoran terkemuka bahkan digunakan di sebuah premis milik selebriti chef yang terkenal,” kata Mark dalam video berkenaan.
Mark di dalam perkongsian tersebut turut menyenaraikan beberapa kos termasuk keuntungan diambil pihak kilang, logistik, pembungkusan dan juga gaji kepada 10 orang pekerjanya.
Penyanyi kelahiran Filipina itu mengakui bahawa dirinya kini sudah merasakan sendiri kepayahan yang pernah diluahkan peniaga lain sebelum ini di dalam usaha untuk mencari rezeki.
“Selepas kira-kira keuntungan, adakah kamu semua rasa ini cukup untuk bayar sewa tapak? Saya meminta maaf. Saya masih belajar dan baru sahaja nak mula berniaga. Tetapi agak-agaklah.
“Sudah ramai orang beli. Tetapi yang tak beli inilah banyak meninggalkan komen. Apa hal? Tolonglah, sekarang juga sudah masuk tahun baharu. Saya juga dapat rasai macam mana peniaga lain punya kesusahan.
“Saya minta maaf kalau ada yang tersinggung, semoga sihat selalu dan jangan lupa sokong peniaga di luar sana,” ujar pemilik nama sebenar Fikri Mark Adam itu di dalam video penjelasan tersebut.