Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin didakwa sekali lagi hari ini atas pertuduhan menggubah wang haram berjumlah RM5 juta.
Mahiaddin bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesalahan menerima wang daripada aktiviti haram dan memasukkannya ke dalam akaun Bersatu.
Presiden Perikatan Nasional itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Mengikut pertuduhan yang dibacakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam itu, Mahiaddin menerima wang tersebut daripada Bukhary Equity Sdn Bhd.
Wang hasil aktiviti haram itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank AmBank milik parti pimpinannya.
Kesalahan itu dilakukan oleh bekas Perdana Menteri di AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, pada 7 Januari 2022.
“Saya telah dibacakan tuduhan yang ketujuh dan saya telah menyatakan saya tidak bersalah dan mohon supaya kes ini dibicarakan.
“(Mahkamah) bersetuju pindahkan kes ini ke mahkamah KL (Kuala Lumpur), akan ditetapkan masa untuk perbicaraan,” katanya selepas keluar dari bilik mahkamah.
Pendakwaan baru itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan serta Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Jika didapati bersalah, Mahiaddin boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.
Ahli Parlimen Pagoh itu dibebaskan setelah mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengguna pakai jaminan RM2 juta dari pertuduhan sebelum ini.
Baca juga: Rasuah: Muhyiddin berdepan hukuman sehingga 35 tahun penjara