Cef selebriti, Chef Wan meluahkan rasa terkejut apabila namanya terpalit dengan dakwaan tidak berlaku adil terhadap kakitangannya dan memotong gaji mereka sehingga gaji pokok dikatakan cuma dibayar sebanyak RM1,500.
Chef Wan atau nama sebenarnya, Datuk Redzuawan Ismail berkata, sejak awal pembabitannya dalam Chef Wan Group of Restaurants (CWGR), dia tidak pernah mencampuri bahagian pengurusan CWGR, apatah lagi terlibat dalam mengambil dan memecat pekerja.
Jelasnya, dia hanya bertanggungjawab mengendalikan bahagian resipi dan kualiti makanan sahaja walaupun dia sebahagian dari rakan kongsi perniagaan itu.
“Saya tidak membuat keputusan mengenai gaji kakitangan mahupun mengambil dan memecat kakitangan. Jadi semalam saya meminta rakan kongsi saya dan General Manager untuk menerangkan kepada saya kerana ia melibatkan nama saya yang tidak berdosa ini.
“Saya diberitahu apa yang ditularkan itu adalah tidak benar! Menurut rakan kongsi saya, pekerja diberhentikan atau dipotong gaji disebabkan tidak menepati piawaian restoran kami, tidak berdisiplin, menipu syarikat dan menipu kerja lebih masa. Kami telah melakukan siasatan,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.
Tambah Chef Wan lagi sebagai seorang yang dikenali dia berusaha untuk mendapatkan kepastian hal sebenar memandangkan isu tersebut telah mencemarkan nama baiknya.
“Saya cuba memahami kedua-dua pihak (syarikat dan pekerja) kerana mahu mendalami isu ini supaya nama saya tidak tercemar.
“Jangan fitnah saya. Hanya kerana tidak setuju dengan polisi syarikat, nama saya dikatakan sebagai penipu,” ujarnya.
Baginya dia tidak mungkin melakukan perbuatan yang menganiaya pekerja tanpa sebarang sebab.
“Tengok air muka saya baik-baik, adakah saya jenis manusia yang suka menipu? Nampak sangat tuduhan datang dari hati yang tidak baik,” tegasnya.
Sebelum ini tular di media sosial tentang pendedahan seorang pekerja di restoran De.wan 1958 by Chef Wan yang mendakwa gajinya dipotong sebanyak RM1,000 tanpa diberikan sebab munasabah.
Chef Wan menjadi sasaran kecaman memandangkan restoran berkenaan menggunakan namanya.
Baca juga: Restoran Chef Wan didakwa tak bayar OT, potong gaji pekerja sebab tak untung?