Padah memikat isteri orang, seorang bekas pegawai tentera dijatuhkan hukuman denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya baru-baru ini.
Tertuduh, Azmi Ali didakwa dengan niat jahat memikat wanita yang sudah bersuami sehingga melakukan hubungan intim.
Sebelum ini, Azmi berkhidmat sebagai pegawai kanan tentera selama 28 tahun sebelum dinasihatkan oleh institusi itu untuk berhenti.
Kini bekerja sebagai pegawai keselamatan dengan gaji RM4,500, Azmi yang sudah berkahwin dan mempunyai dua anak itu meminta denda minimum.
Namun begitu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Maryam Jamilah mahu hukuman setimpal diberikan kepada Azmi sebagai pengajaran.
Siti Maryam meminta mahkamah untuk mempertimbangkan keadaan yang dialami pengadu (suami wanita yang dipikat) setelah insiden itu berlaku.
Akibat perbuatan tertuduh, perkahwinan yang dibina pengadu hancur di tengah jalan apabila terpaksa bercerai dengan isterinya.
Ditimpa musibah, perniagaan yang diusaha pengadu ‘gulung tikar’ sehingga terpaksa pulang ke kampung di Terengganu selepas menjual rumah.
“Pengadu juga terpaksa bergelut dengan kos guaman kes penceraiannya dan sedang menjalani rawatan akibat kemurungan yang serius,” katanya.
Setiap perbuatan, ada balasannya. Diharapkan mereka di luar sana berfikir panjang sebelum bertindak memusnahkan rumah tangga orang lain.
Baca juga: Bergadai nyawa, lelaki sanggup redah banjir untuk bagi bantuan di PPS Johor