Aktor Zul Ariffin didenda RM30,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang pagi tadi atas pertuduhan memuat naik kandungan bersifat sumbang dalam media sosial pada 18 Mac lalu.
Pemilik kepada nama sebenar, Zulkifli Ariffin kelahiran Taiping itu menasihatkan agar rakan artis lebih berwaspada apabila diminta memuat naik sesuatu hantaran bagi tujuan promosi.
“Kita semua melakukan kesilapan. Disebabkan itu, jadikan perkara ini sebagai pengajaran.
“Pengajaran kepada semua pelakon, kalau disuruh muat naik apa-apa tak payahlah akur sangat, betul tak?
“Berhati-hatilah, jadikan saya sebagai contoh. Muat naik gambar selfie sendiri tak mengapa, tak rugi apa pun,” dipetik BH Online.
Terdahulu, pelakon berdarah kacukan Melayu dan Belanda itu membuat pengakuan selepas pertuduhan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dibacakan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.
Menurutnya, dia mengaku kesalahan memuat naik kandungan kerana enggan memanjangkan kes dan membazir masa orang berkaitan.
“Mahkamah sudah jatuh hukuman dan sekarang, saya kena selesaikan denda. Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan tak mahu berpanjangan. Saya hanya mengaku bersalah disebabkan memuat naik.
“Saya tak nak bazir masa, jadi saya mengaku bersalah. Kalau tak mengaku bersalah, perkara ini berterusan. Saya tak mahu hidup dengan rasa macam ini, jadi anggap kesalahan saya atas kelakuan saya,” lapor BH Online.
Zul yang membintangi filem sulung lakonannya, Evolusi KL Drift 2 itu turut mengakui bersalah kepada Allah.
Justeru, ujarnya, dia mengambil langkah berani untuk mengaku bersalah dan menerima hukuman tersebut.
Pada 18 Mac, pelakon Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-31 itu memuat naik babak lucah dalam drama Perempuan Itu menerusi laman Instagram (IG) miliknya.
Tindakannya itu mengundang kecaman teruk orang ramai apabila babak erotik dalam drama tersebut memperlihatkan Zul mendukung pelakon, Siti Hariesa dari depan.
‘Teaser’ drama arahan Erma Fatima itu turut ‘berani mati’ melanggar syariah apabila memaparkan aksi Zul membuka baju serta menyuap krim putar antara kedua-dua pelakon berkenaan.
Ekoran itu, Zul yang pernah dikaitkan menjalin hubungan dengan beberapa selebriti dan penerbit filem akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka di IG.
Baca juga Berkenalan hanya di Facebook, wanita cantik kahwini penjual ikan