Didenda RM4,000 tarik coli rakan sekerja

Didenda RM4,000 tarik coli rakan sekerja

Seorang lelaki warga Nepal didenda RM4,000 atau penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di Petaling Jaya hari ini kerana menarik tali coli rakan sekerjanya.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Pratap Thokar, 25, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya.

Mengikut pertuduhan pilihan, pekerja kilang kek itu didakwa mengaibkan kehormatan dengan tujuan mengganggu kesantunan seorang wanita berusia 23 tahun dengan menarik tali coli mangsa dari arah belakang.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Kilang Secret Recipe, Jalan SS 25/28, Taman Mayang, di sini pada pukul 10 pagi, 16 Disember lalu, dipetik Utusan Online.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan perbuatannya itu hanyalah untuk memanggil wanita berkenaan bagi bertanyakan sama ada kek itu sudah siap atau pun belum.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh selain perbuatannya dianggap mengganggu ketenteraman awam.