Didie Alias dedah pelakon baru dapat bayaran sampai RM5k satu episod, tapi pelakon lama dibayar RM100 je satu babak

Oleh KIM SYAZIE

Pelakon dan pengacara Didie Alias mendakwa penglibatannya selama 40 tahun dalam industri seni seolah-olah tiada harga di mata penggiat seni apabila bakat lama seperti tidak dihargai.

Ujar pelakon yang mesra membahasakan dirinya ‘mommy’ itu, bayaran yang diterima kadang-kala tidak setimpal dengan pengalaman, dan komitmen yang ditagih.

“Saya bagi contohlah. Kita dah ‘lock’ untuk kerja yang panjang, empat hingga enam bulan. Tapi dibayar cuma RM20,000 hingga RM30,000 untuk enam bulan. Kau rasa berbaloi tak?

“Kau ingat aku ini apa? Baik aku jadi pelakon tambahan. Sebagai penerbit atau stesen televisyen, janganlah ‘pijak’ kami pelakon-pelakon lama ini,” katanya.

Lebih membuatkan Didie terasa hati apabila dia pernah ditawarkan bayaran serendah RM1,000 sehari untuk berlakon dalam sebuah filem.

“Itu agak melampau. Ada yang bayar RM100 untuk satu babak. Kalau filem, RM1000 sehari. Berbaloi ke? Baik aku buat ‘review’ dalam media sosial. Lagi boleh hidup.

“Kalau saya tidak bersuara, siapa yang akan bantu? Tiada,” jelasnya.

Bukan niat untuk membangga diri, Didie yang ditemui ketika sidang media dan sesi rakaman program Dapur Tempur Selebriti berkata, dia perlu bertegas menolak tawaran yang dirasakan tidak setimpal kerana percaya pada rezeki lain yang telah diatur Tuhan.

Pada masa sama, pelakon berusia 51 tahun itu menasihatkan pemain industri khususnya para penerbit agar tidak ‘pilih bulu’ membeza-bezakan tahap bayaran elakon lama dan baharu yang kurang berpengalaman. 

Lebih menyakitkan, pelakon baharu kini menerima bayaran yang jauh lebih tinggi berbanding pelakon lama.

“Kenapa orang lain boleh dibayar dengan harga setimpal, tapi pengalaman tidak ada. Boleh letak harga satu episod sehingga RM5,000. Kenapa?

“Saya bercakap bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi mewakili rakan-rakan senasib yang lain. Ramai yang sudah lama tidak berlakon sehingga enam bulan,” jelasnya.

Tambah Didie, dia tidak menyalahkan pendatang baharu yang membanjiri industri, namun berharap kehadiran mereka biarlah seiring dengan bakat.

“Ada yang datang masuk set, saya kena ajar mereka balik. Mereka tidak ada asas (lakonan). Saya kena duduk dengan mereka untuk mengajar. Lagi banyak kerja aku,” katanya.

Isu soal bayaran artis veteran yang dikatakan tidak setimpal, telah banyak kali disuarakan oleh ramai artis senior.

Sebelum ini pelakon Jalil Hamid mendedahkan pernah ditawar dengan bayaran serendah RM150 sehari untuk berlakon dalam sebuah drama.

Selain itu, dramatis air mata Wan Maimunah juga mengalami nasib sama apabila dibayar dengan harga RM200 untuk berlakon dalam sebuah telefilem. – 

Baca juga: Sempat perli polis sebab tak selesaikan kes bunuh isteri dan anak, lepas 2 tahun baru kantoi, rupanya…