Malaysia Dateline

Didik masyarakat membenci judi sama seperti membenci dadah dan zina

Bukan mudah untuk menghapuskan judi. Kerajaan manapun, perkara yang mampu dilakukan ialah mengawal. Nak mencadang atau mendesak supaya hapus boleh, tapi nak melaksana, perlukan penelitian yang mendalam.

Judi sudah bertapak di dunia ini sebagai industri. Jutaan orang bergantung hidup dengan industri itu. Selain ketagihan, hiburan dan bersosial, judi juga menjadi sumber pendapatan.

Semua kedai atau premis judi boleh ditutup dengan kuasa undang-undang. Tapi adakah aktiviti judi boleh dihentikan? Adakah kaki judi akan berhenti berjudi?

Jika aktiviti judi diharamkan sepenuhnya, sudah pasti akan wujud aktiviti judi secara haram. Soalnya, mampukah kita mengekang perkembangan judi secara haram itu?

Mana lebih baik, mengharamkan judi sepenuhnya secara undang-undang kemudian pengharaman itu mencetuskan aktiviti judi secara haram?

Atau, tidak perlu mengharamkan aktiviti itu secara total tetapi dikawal melalui undang-undang yang diistilahkan dengan judi berlesen atau “judi halal”?

Nanti ada orang kata, kalau begitu boleh ada zina berlesen, curi berlesen atau samun berlesen? Sehingga kini, setahu saya, secara umum, judi belum dikategorikan jenayah seperti zina, curi atau samun.

Kesan judi juga tidak sedahsyat kesan zina, curi atau samun. Sebab itu al-Quran sendiri sebut, judi ada manfaatnya, cuma dosanya lebih besar berbanding manfaat.

Justeru, dalam sejarah, pengawalan judi berlangsung secara bertahap untuk mengelakkan kesan negatif kepada pengambil manfaatnya sama seperti proses pengharaman arak.

Mudarat judi memang sangat besar mengatasi manfaat. Sebab itu agama mengharamkannya. Proses yang lebih penting selain pengharaman secara undang-undang secara total ialah pendidikan kesedaran tentang mudarat judi.

Inilah roh agama. Rasanya, kita belum benar-benar gigih mendidik masyarakat membenci judi seperti kegigihan kita mendidik masyarakat membenci dadah dan zina.

Kita lebih suka melihat semua perkara dari teropong undang-undang sebagai penyelesaian. Sebab, dalam kalangan kita ramai yang berasa dirinya suci dan mustahil melakukan dosa.